Namun, bukan itu yang ingin dibahaskan.
Tahukah anda?
Di sebalik penguasaan dalam skop pengeluaran tayar, Bridgestone pernah mencipta sejarah tersendiri sebelum ini.
Jenama tersebut diketahui pernah menghasilkan motosikal tidak lama dahulu.
Antara model motosikal yang dikeluarkan jenama berkenaan ialah Bridgestone Hurricane, Hurricane Scrambler, MKII, GTO 350 dan GTR 350.
(Gambar dari kiri: Bridgestone GTO 350 dan GTR 350)
Motosikal paling popular ialah model GTO dan GTR 350
Diperkenalkan pada tahun 1966, Bridgestone GTO 350 merupakan model motosikal ala klasik.
Motosikal itu dibina di atas platform kerangka jenis Double-Cradle.
Membelek rekaan dimiliki, Bridgestone GTO 350 digarap dengan kemasan krom di keseluruhan badan motosikal terutamanya pada bahagian blok, ekzos dan tangki minyak.
Menyentuh aspek prestasi pula, motosikal tersebut diketahui digerakkan nadi enjin dua lejang bersesaran 345cc dengan sistem sejukan udara juga karburetor Mikuni VM26.
Kuasa yang mampu dihamburkan motosikal retro berkenaan adalah sekitar 40Hp dengan kelajuan maksima mencecah 160 kilometer sejam (kmsj).
Beralih kepada model street bike kembarnya, Bridgestone GTR 350 turut berkongsi spesifikasi hampir serupa dengan GTO 350.
Kedua-dua model berkenaan mendapat tempat dalam hati pengguna di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah sejurus motosikal tersebut dieksport ke pasaran itu dari Jepun.
GTR 350 dijual serendah AS$695 (RM2,684) sementara GTO 350 pula lebih mahal iaitu sekitar AS$799 (RM3,085) ketika itu.
Dikhabarkan, pengeluaran motosikal-motosikal terbabit dihentikan pada tahun 1971 bagi memfokuskan terhadap skop pembuatan tayar secara menyeluruh.