12 Fakta yang Anda Mungkin Tidak Tahu berkenaan Mitsubishi

oleh Mohamad Hanif|
Siapa sahaja di antara kita, para peminat automotif sedunia yang tidak kenal akan jenama tiga berlian yang berasal daripada Jepun ini, iaitu Mitsubishi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menerusi jenama inilah, beberapa model terkenal mereka mula mencipta nama di persada permotoran antarabangsa seperti siri Lancer Evolution, GTO, Eclipse dan Pajero. 

Di sini, kami sertakan 12 buah fakta yang mungkin anda sendiri tidak tahu berkenaan jenama Mitsubishi ini. 
 

1. Mitsubishi sudah pun berusia 148 tahun!


Mitsubishi ditubuhkan pada tahun 1870 namun mereka tidaklah memulakan perniagaan mereka di dalam bidang automotif, sebaliknya mereka menceburkan diri di dalam bidang perkapalan. 

Hanya pada tahun 1917, baharulah Mitsubishi memasuki arena automotif apabila Mitsubishi Shipbuilding Co. Ltd memperkenalkan model pertama mereka, Mitsubishi Model A yang dibina sepenuhnya menggunakan tenaga tangan - hanya 22 unit berjaya dihasilkan pada ketika itu. 
 

2. Logo Mitsubishi - inspirasi buah berangan


Logo tiga berlian ini diambil berdasarkan gabungan logo dua buah keluarga utama di Jepun dan juga rekaan bendera daripada syarikat perkapalan Mitsubishi yang mengambil inspirasi daripada buah berangan. 

Dalam bahasa Jepun, 'mitsu' bermaksud tiga manakala buah berangan digelar sebagai 'hishi', dan berdasarkan perubahan struktur kata di dalam bahasa Jepun, 'hishi' berubah cara sebutannya menjadi 'bishi' dan hasil gabungan tersebut, terbentuklah 'Mitsubishi'.
 

3. Mitsubishi syarikat serba boleh


Selain daripada melibatkan diri di dalam industri perkapalan dan industri automotif, Mitsubishi sebenarnya mempunyai bank yang terbesar di Jepun apabila Mitsubishi Bank bergabung bersama Bank of Tokyo (1996) dan UFJ Holdings (2004). 

Manakala di bawah Mitsubishi Heavy Industries pula bernaung beberapa buah syarikat seperti:

  • Mitsubishi Motors - syarikat automotif
  • Mitsubishi Atomic - syarikat tenaga nuklear
  • Mitsubishi Chemical - syarikat kimia terbesar di Jepun
  • Mitsubishi Hitachi Power System - divisyen penjanaan tenaga
  • Nikon Corporation - pakar di dalam pengimejan dan optik
     

4. Kemunculan di dalam sukan permotoran


Pada tahun 1962, Mitsubishi melibatkan diri di dalam arena sukan permotoran menerusi perlumbaan touring car menggunakan jentera Mitsubishi 500 SuperDeluxe di Macau Grand Prix dan sedan berenjin belakang tersebut berjaya meraih empat tempat teratas di dalam kategori Bawah 750 cc. 

Jenama Mitsubishi lebih menonjol di dalam sukan ralli dengan kemunculan pertama Lancer 1600 GSR di dalam cabaran East African Safary Rally pada era 1970-an berjaya meraih tiga tempat teratas. 

Di Ralli Dakar pula, tiada jenama lain yang mampu menandingi Mitsubishi dengan tujuh kemenangan berturut-turut dan 12 gelaran tempat pertama secara keseluruhannya.
 

5. Mitsubishi Eclipse - kereta terbaik era 1990-an!


Sports car (tidak mahu dikaitkan dengan crossover Eclipse ya) dengan enjin turbo 4G63T dan sistem pacuan empat roda termaju pada ketika itu dipilih memasuki senarai antara 10 buah kenderaan terbaik oleh Car and Driver selama empat tahun berturut-turut!

Eclipse merupakan sports coupe yang berjaya meletakkan nama Mitsubishi di dalam peta Amerika dan berkat daripada penampilan di dalam siri Fast and Furious, ia kemudiannya menjadi model yang hangat di pasaran. 
 

6. Teknologi ESC


Ciri yang kini menjadi kelaziman di dalam setiap kenderaan moden ini sebenarnya berasal daripada Mitsubishi apabila pada tahun 1990, mereka menjadi syarikat pertama yang memperkenalkan kawalan cengkaman dan anti-skid yang dikawal secara elektronik.
 

7. Lancer Evolution - hanya untuk pasaran Jepun sahaja pada mulanya!


Tahukah anda, model sedan sports terkenal suatu ketika dahulu sebenarnya dikhususkan untuk pasaran Jepun sahaja?

Bermula daripada Evolution 1 sehinggalah Evolution 7, ia hanya boleh didapati di pasaran Jepun manakala pasaran lain hanya menerima model yang disebutkan menerusi khidmat orang perseorangan grey import (bukan rasmi Mitsubishi). 

Hanya selepas itu, baharulah Mitsubishi memulakan eksport Evolution 8 ke pasaran Amerika Syarikat selepas melihat kejayaan rakan senegara Subaru Impreza WRX STi. 
 

8. Mitsubishi dan Jackie Chan sahabat baik!


Bagi para peminat Jackie Chan, anda sudah tentu melihat banyak kelibat model-model Mitsubishi di dalam filem lakonan beliau di kaca televisyen dan panggung wayang. 

Ya, Mitsubishi sebenarnya sudah lama bekerjasama dengan pelakon tersebut dan filem Thunderbolt yang pernah membuat penggambaran di Litar Batu Tiga Shah Alam (yang kini sudah hilang ditelan arus kemodenan) suatu ketika dahulu.

Filem itu berjaya melonjakkan nama Evo III di kalangan para peminat, sehinggalah para pemilik Wira Evo jadian tidak mahu ketinggalan untuk memasang kit badan Evo III yang hensem itu. 
 

9. i-MiEV - kereta elektrik comel dari Mitsubishi


Mitsubishi melancarkan i-MiEV dengan pada tahun 2010 dan siapa sangka, kereta mini comel tersebut berjaya merangkul anugerah "Most Advanced Technology" di Jepun.

i-MiEV kemudiannya menjadi kereta elektrik pertama di dunia yang berjaya dijual melebihi 10,000 unit dan rekod tersebut disahkan oleh Guinnes Book of World Records

Pada tahun 2012, i-MiEV diiktiraf sebagai kereta paling hijau di dalam pasaran oleh American Council for an Energy-Efficient Economy (ACEEE) dan dipuji oleh pakar automotif dan pengguna disebabkan tahap versatilnya untuk kegunaan di dalam kawasan bandar. 
 

10. Mitsubishi dan jenama automotif sedunia


Di Malaysia, umum mengetahui sejarah awal Proton yang bergantung sepenuhnya kepada teknologi Mitsubishi semenjak dari Proton Saga, dan Proton Inspira menjadi model yang terakhir diambil daripada Mitsubishi. 

Selain daripada Proton, Mitsubishi juga turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa jenama automotif seperti Volvo (masih ingat Proton Waja?), Groupe PSA, Volkswagen, dan Hyundai (sekadar menyebut beberapa jenama) sebelum mereka memasuki pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi pada tahun 2016.
 

11. Mitsubishi jenama nombor satu dalam indeks kepuasan pelanggan Malaysia!


Berdasarkan laporan indeks kepuasan pelanggan yang dikeluarkan oleh J.D. Power, Mitsubishi menduduki tempat pertama dengan skor keseluruhan berjumlah 814 (daripada 1,000). 

Rekod cemerlang yang diperoleh Mitsubishi berjaya mengalahkan beberapa jenama automotif terkenal seperti Mazda, Nissan dan Toyota. 
 

12. Mitsubishi tawar rebat tunai sehingga RM8,000!


Mitsubishi Motors Malaysia kini menjalankan promosi akhir tahun 2018 yang menawarkan rebat tunai yang agak menarik untuk rakyat Malaysia.

Bermula dari sekarang sehingga 31 Disember 2018, para pelanggan yang menempah dan mendaftarkan Mitsubishi Outlander 2.0L dan 2.4L bakal menerima rebat sehingga RM8,000. Harga jualan bagi Outlander 2.0L adalah bermula dari RM137,888 manakala varian 2.4L pula adalah RM152,888.

Manakala untuk setiap pembelian trak pikap Triton pula, para pembeli boleh mendapatkan rebat tunai sehingga RM8,000 dan harga jualan bagi setiap varian Triton adalah seperti berikut: 

 


Bersegeralah berkunjung ke mana-mana pusat pameran Mitsubishi berdekatan anda kerana stok adalah terhad dan promosi ini hanya sah sehingga 31 Disember ini sahaja. 
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda, ia membuktikan bahawa Xpander adalah pilihan…
Berita Domestik
Untuk setiap pembelian dua versi model Triton ini, pembeli akan menerima duit raya bernilai RM2,000…
Berita Domestik
Pembesaran bilik pameran terbaru itu merupakan bilik pameran terbesar Mitsubishi Motors di Kuching…