5 soalan tentang Lemon Law!

oleh HEZERI SAMSURI|
Lemon Law riuh diperkatakan dan kebetulan beberapa hari lalu saya melayari media sosial dan terlihat komen-komen dari netizen.

Ramai rupanya yang beranggapan kalau kereta yang baharu dibeli ada masalah, kereta itu dianggap sebuah Lemon.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Maaflah sebab Dewan Bahasa Dan Pustaka dan Perdana Menteri kita masih tiada lagi perkataan khusus untuk kereta lemon dan undang-undang lemon. 

Jika saya boleh cadangkan, Lemon Car ialah Kenderaan Lemau, sebab memang pemiliknya akan jadi lemau bila berhadapan dengan kes begini.

Untuk mereka yang dah lama mengikuti kerjaya saya, saya memang antara yang sudah lama vokal tentang isu undang-undang lemon ini.

Oleh itu, hari ini, saya sediakan lima soalan yang saya kira penting serta relevan untuk anda faham apa itu kereta lemon dan undang-undang lemon.

 

1. Bila dan siapa yang mewujudkan Undang-Undang Lemon?

  • Ia bermula seawal tahun 1975 di Amerika Syarikat bila kerajaan Uncle Sam memperkenalkan Magnuson-Moss Warranty Act.
  • Menurut akta itu, pengeluar produk perlu memberikan informasi lengkap tentang perlindungan waranti yang diterima pembeli.
  • Ia tidak mewajibkan waranti, tetapi sekiranya ada, ia mahu pengeluar memberika informasi selengkapnya agar pembeli tidak tertipu dengan "fine print" atau keadaan di mana pengeluar menggunakan ayat-ayat yang mengaburi kefahaman pengguna.
  • Dalam erti kata lain, pengeluar perlu telus dan tidak berdolak dalih bila pembeli mengadu ada kerosakan pada item yang dibeli.
  • Akta Waranti Magnuson-Moss ini dipercayai mencetuskan Undang-Undang Lemon.

2. Apa dia Undang-Undang Lemon?

  • Undang-Undang Lemon ialah satu perundangan yang menawarkan penyelesaian yang lebih kompleks dari apa yang dilindungi oleh waranti pengeluar.
  • Contohnya, waranti pengeluar akan memberi jaminan sebarang kerosakan akan dibaiki, tetapi ia tidak menerangkan kerja pembaikan itu dilakukan sebanyak berapa kali dan sampai tahap manakah produk itu patut diganti.
  • Contohnya, jika transmisi kenderaan anda rosak di dalam tempoh waranti, syarikat kenderaan boleh membaiki atau menggantikannya.
  • Tetapi jika transmisi itu rosak setiap tahun, dan anda menggunakan kenderaan itu seperti apa yang disyorkan pengeluar, dan anda menghantar kenderaan anda ke pusat servis rasmi tanpa culas, adakah pengeluar akan terus menggantikan atau membaiki transmisi itu secara percuma selepas tamat tempoh waranti?
  • Atau jika kenderaan baharu anda mengalami masalah elektrikal atau elektronik berulang kali dalam masa waranti atau dalam tempoh enam bulan selepas kenderaan dibeli, adakah anda patut menerima kenderaan baharu kerana terbukti kenderaan anda menghabiskan banyak masa di pusat servis walhal setiap bulan anda tetap perlu membayar ansuran? 

3. Adakah kereta baharu saya ini kereta lemon?

  • Jika kenderaan baharu ada mempunyai satu atau dua masalah, dan ia tidak lagi terjadi selepas dibaiki, ia bukan kenderaan lemon.
  • Kenderaan lemon ialah bila ia kerap mengalami kerosakan atau kerosakan yang sama kerap datang kembali selepas beberapa tempoh masa.
  • Adalah normal untuk model terkini yang baharu dilancarkan akan mempunyai masalah-masalah teknikal dan ia sepatutnya boleh dibaiki di bawah waranti.

4. Adalah pembeli kenderaan terpakai turut dilindungi di bawah Undang-Undang Lemon?

  • Ia bergantung kepada negara itu sendiri. Di US, ada negeri yang melindungi pembeli kenderaan terpakai di bawah Undang-Undang Lemon.
  • Ini sebenarnya bagus kerana penjual akan memastikan kenderaan terpakai itu benar-benar sempurna sebelum dijual.
  • Sayangnya di Malaysia, ini boleh dikatakan sedikit sukar kerana syarikat kenderaan terpakai tidak mudah mendapat sejarah servis kenderaan tersebut dan jika ia diservis di bengkel biasa, hampir langsung tiada rekod yang boleh didapati.
  • Syarikat pengeluar perlu telus dalam berkongsi informasi supaya pembeli tahu keadaan kenderaan terpakai tersebut.
  • Contohnya, pembeli patut diberitahu samada kenderaan itu sudah dipanggil semula (recall) jika ada.
  • Di sini, campurtangan dari agensi kerajaan dilihat perlu.
  • Namun begitu, jika Undang-Undang Lemon terpakai untuk kenderaan terpakai, ada kemungkinan harga kenderaan itu akan meningkat.

5. Adakah Undang-Undang Lemon membantu pengeluar juga?

  • Ya, ia akan memudahkan syarikat pengeluar untuk menukarkan kenderaan lemon kepada unit yang baharu tanpa perlu membeli semula kenderaan itu dari pihak bank (jika dibeli secara sewa beli).
  • Sekarang ini, proses untuk menukar unit bermasalah kepada unit yang baharu akan melalui proses perundangan yang kompleks kerana jika kita mengikut prosedur sebenar, pengeluar perlu "membeli" kenderaan itu dari pihak bank dan membayar kadar faedahnya sekali.
  • Kemudian, unit baharu itu perlu didaftarkan sekali lagi dengan nombor pendaftaran yang berbeza, kecuali dia membuat penukaran nombor plet lama yang akan memakan kos tambahan.
  • Syarikat pengeluar juga perlu membayar cukai untuk unit yang digantikan, dan ini bukan jumlah yang kecil. Mungkin kerana itu, tidak banyak syarikat kenderaan yang sanggup menukar unit lemon.
  • Dengan wujudnya Undang-Undang Lemon, adalah lebih mudah untuk pengeluar menukar kenderaan yang bermasalah tanpa mengeluarkan kos yang lebih.

Jadi, jangan terus memanggil kenderaan anda lemon dan sekiranya kenderaan anda memang sebuah unit lemon, laporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di:

Telefon: 03-8882 5822 (waktu pejabat sahaja)
Alamat: No. 13, Aras 5 (Podium 2), Persiaran Perdana, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.


Walaupun sebenarnya Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia masih mempunyai banyak kekangan dari segi undang-undang tetapi mereka masih boleh cuba membantu menguruskan masalah anda.

 

 

 


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata undang-undang sebegitu akan memberi…
Berita Domestik
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, Lemon Law bukan suatu akta baharu dan telah…
Uncategorized
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata perundangan tersebut akan memberi kuasa kepada pengguna…