6 sebab mengapa motorshow di Malaysia HAMBAR

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setiap kali pameran automotif diadakan di Malaysia, komen-komen sumbang seperti di bawah pasti akan kedengaran:

  • Kenapa banyak jenama tidak hadir?
  • Kenapa yang dipamerkan hanya kereta yang ada di dewan pameran?
  • Kenapa tiada kereta-kereta konsep yang dilancarkan di negara lain?
  • Kenapa tiada pelancaran global?

Sememangnya tiada pihak yang patut melenting kerana isu ini telah lama didiamkan oleh semua yang terbabit dan ia boleh diselesaikan dengan kerjasama semua pihak.

Di sini kami cuba huraikan kenapa kejadian di atas berlaku di Malaysia.
 

 

1. Malaysia tidak ada dalam senarai kalendar pameran automotif antarabangsa

Boleh dikatakan kesemua pameran automotif antarabangsa dianjurkan oleh negara-negara yang berpayung di bawah Organisasi Antarabangsa Untuk Pengilang Kenderaan Bermotor atau OICA (International Organization of Motor Vehicle Manufacturers).

Syarikat kenderaan dunia akan membuat perancangan berdasarkan kalendar pameran automotif yang dihasilkan oleh OICA.

LIhat senarai terkini negara-negara di dalam OICA di senarai ini. Harus maklum tidak semestinya sesebuah negara berada di dalam organisasi OICA tetapi mungkin ia lebih memudahkan. 


 

 

2. Pameran di Malaysia tidak ikut turutan

Kereta konsep yang dilancarkan akan bergerak dari satu benua ke benua yang lain mengikut turutan jadual OICA.

Contohnya, selepas kereta konsep itu dipamerkan di US pada bulan Oktober, ia akan diterbangkan ke Eropah untuk siri pameran automotif di sana pula dalam bulan November. 

Jika pameran di Malaysia diadakan pada bulan November di mana kenderaan konsep itu berada di Eropah, besar kemungkinan ia tidak akan hadir ke Malaysia kerana ia sudah ditempah untuk pertunjukan di benua itu.

Kos untuk membawanya dari benua lain ke Malaysia, dan kemudian untuk diterbangkan balik ke sana sahaja sudah akan memakan jutaan RM.

Jika tiket RM20 pun kita sudah bising, jangan harap ini akan berlaku.


 

 

3. Kos membawa masuk kereta konsep sangat tinggi

Ramai yang ingat perniagaan automotif ini seperti kedai kasut - boleh meminjam stok dari cawangan lain.

Untuk industri automotif, ini tidak akan berlaku.

Jika sebuah syarikat ingin mempamerkan kenderaan konsep itu di Malaysia, cawangan syarikat itu di Malaysia perlu menanggung kos insuran untuk kenderaan itu (jutaan RM), kos pengangkutan (hanya kapal terbang sahaja, dan perlu dibawa jurutera sekali) dan kos sewaan jika ada (perlu dibayar kepada prinsipal atau syarikat induk).

Ini untuk memastikan setiap syarikat cawangan di setiap negara menjana pendapatan untuk melabur di dalam kos promosi dan pengiklanan.

Ia tidak seperti menelefon ke ibupejabat dan berkata, "Err .. boss, pinjam kereta konsep sekejap?"


 

 

4. Pasaran kita tidak besar

Pasaran Malaysia, suka atau tidak, adalah kecil. Ini menyebabkan pelaburan besar dari segi promosi tidak begitu berbaloi. 

Kita juga dibayangi dengan dua pasaran yang besar dan aktif, Thailand dan Indonesia.

Banyak syarikat kenderaan sudah mula menggunakan pameran automotif di Indonesia dan Thailand untuk membuat pelancaran global bagi model terbaharu mereka.

Antaranya ialah Honda dan Toyota yang melancarkan produk-produk Asean mereka di sana.

Untuk Malaysia, pelancaran global boleh dilakukan oleh Proton dan Perodua tetapi ia tidak digembar-gemburkan kerana kedua-duanya masih terperangkap di bawah payung kereta nasional perlu dilancarkan di Malaysia sahaja. 

Lagipun, pasaran terbesar mereka masih lagi hanya di dalam negara.

Mungkin Geely mampu mengubah situasi ini dengan melancarkan model baharu Proton untuk Asean dan dengan bantuan insentif bagi syarikat nasional, Geely boleh merendahkan kos agar produk mereka lebih menarik untuk melawan jenama Jepun.

Perodua pula mungkin boleh melancarkan dahulu produk terbaharu mereka di Indonesia bersama Daihatsu agar mereka yang skeptik akhirnya mengaku usaha anak watan diiktiraf oleh rakan teknikal mereka.


 

 

5. Tidak konsisten

Pameran automotif di Malaysia tidak semuanya konsisten.

Kita mempunyai beberapa pameran yang diadakan setiap tahun, tetapi ia tidak begitu besar dan impak yang diterima kepada pasaran jelas lemah, menyebabkan syarikat automotif tidak mahu berbelanja tinggi semasa pameran-pameran tersebut.

Untuk acara utama seperti KLIMS pula, ia wujud bila ada penaja. Dan KLIMS juga nampaknya seperti disokong oleh ahli-ahli Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sahaja.

Bukan setakat politik, tetapi industri automotif kita juga berpuak-puak!

 

 

6. Hidup di dalam dunia sendiri

Industri automotif negara lebih memberi fokus kepada pasaran tempatan.

Ini boleh dibuktikan dengan prestasi syarikat-syarikat nasional kita sendiri yang kurang keluar dari jajahan takluk Malaysia.

Jika kita mengambil kira perkembangan automotif serantau dan dunia, kita perlu memulakannya dengan segera. Langkah pertama ialah memberikan pihak industri lima tahun sebelum sesuatu keputusan dijadikan perkara mandatori.

Perancangan ialah satu item yang sangat penting di dalam mana-mana industri.

 

Malaysia masih ada harapan?

Pasti ada harapan kerana ini ialah Malaysia baharu. Lagipun, pameran sekarang jauh lebih baik dari sebelum ini. Kita boleh melihat usaha yang baik dilakukan oleh Perodua, Mitsubishi, Toyota, Ford dan lain-lain lagi syarikat automotif dan juga syarikat barangan lain.

Kita juga sudah membuktikan bahawa bangunan MITEC itu menjadi jawapan terbaik kerana lokasi lama tidak lagi sesuai.

Agensi kerajaan seperti Malaysia Automotive Institute (MAI) sudahpun mula bekerjasama dengan penganjur Bangkok Motor Show dan juga Gaikindo dari Indonesia untuk melihat bagaimana kedua-dua penganjur itu boleh membantu kita menjadikan rantau Asean ini lebih menarik kepada pembuat kenderaan dunia.

Sama-sama kita berusaha agar negara yang mempunyai syarikat automotif nasionalnya sendiri ini muncul sebagai juara sebenar automotif Asean. 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Rekabentuk gril bertemakan bintang dan planet Zuhal beserta "cincinnya" sementara roda aloi bersaiz…
Berita Global
Mana yang tinggal pula telah mengurangkan bajet pameran mereka, termasuk jenama-jenama dari Jerman…
Berita Domestik
Malaysia Autoshow ialah pameran automotif yang terbesar di dalam negara kita dan sekiranya kita…