8 mangsa nahas LRT saman Rapid Rail, Prasarana

oleh Mohamad Hanif|
Lapan orang individu yang terbabit dalam kemalangan LRT laluan Kelana Jaya pada Mei 2021 telah memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad atas dakwaan cuai kerana gagal memastikan sistem pengangkutan tersebut beroperasi dengan selamat, menurut laporan Bernama.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Saman tersebut dikemukakan oleh plaintif iaitu Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena Jitol, 28, Riezariel Haeqal, 23, Rozita Che Rus, 28, Ng Siow Nee, 36, Siti Nuraliah Hashim, 26, Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36, dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35 menerusi Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi pada 9 Mac lepas dengan menamakan Rapid Rail dan Prasarana Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.

Mereka yang sebelum kejadian sihat tubuh badan dan mental mendakwa akibat kemalangan dan pelanggaran tren itu, kesemua plaintif mengalami pelbagai kerugian selain kecederaan pada tubuh badan.

“Defendan pertama dan kedua pada masa pelanggaran telah gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan plaintif pertama hingga kelapan selain gagal memastikan kereta api selamat digunakan oleh penumpang.

“Selepas kemalangan pada 24 Mei 2021 tersebut, Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat defendan kedua iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah membuat jenaka ketika sidang media dengan berkata kedua-dua tren itu ‘bercium antara satu sama lain’ selain dilihat ketawa pada sidang media sama yang diterbitkan pelbagai saluran televisyen,” dakwa kesemua plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Menurut plaintif, kedua-dua defendan antara lain telah gagal memastikan kereta api selamat untuk bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh kereta api lain, gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan pelanggaran tersebut serta gagal memberhentikan, memperlahankan atau mengawal kereta api supaya kemalangan dapat dielakkan.

Oleh itu, mereka menuntut lebih RM860,000 sebagai ganti rugi khas, am dan teladan serta faedah sebanyak lima peratus atas kesemua jenis ganti rugi tersebut, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.

Dalam insiden kemalangan pada 8.45 malam, 24 Mei 2021 itu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung antara satu sama lain.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam video yang tular di media sosial, polis mengarahkan pemandu ambulans itu supaya berhenti…
Berita Domestik
"Memang tindakan (u-turn lawan arus) itu tidak sepatutnya berlaku tetapi buat masa ini, kita faham…
Berita Domestik
Mungkin kisah yang terjadi pada seorang individu ini dapat menjadi pengajaran untuk bakal pembeli…