"Semua ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung masing-masing menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam walaupun kita ada kapasiti yang terhad," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan 1,000 pek hari raya di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata selain laluan sektor utara, KTMB juga menawarkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri, buat pengguna yang ingin pulang ke pantai timur.
Menurutnya bermula dari stesen KL Sentral hingga ke stesen Tumpat, perkhidmatan itu menawarkan empat perjalanan pergi dan balik dengan 1,864 tiket.
Setakat hari ini, katanya sebanyak 1,685 tiket telah terjual bagi perkhidmatan tersebut.
Sementara itu, mengenai cadangan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik, Loke berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan itu dan berkata penubuhan syarikat penerbangan tersebut boleh meredakan keadaan kadar tambang yang mahal khususnya di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.