Selain memastikan tiada siapa yang meninggal ataupun tercedera ketika kemalangan di dalam sebuah kereta baharu, Volvo juga mahu memastikan pelanggan mereka benar-benar dilindungi ketika insiden pasca-kemalangan.
Memperkenalkan sebuah aplikasi mudah alih baharu Volvo Car Accident Advisor, aplikasi ini akan berkomunikasi untuk memberikan panduan dan tunjuk ajar kepada pemandu bagi mengendalikan kereta yang rosak akibat kemalangan.
Ini termasuklah servis panggilan kecemasan, menyenaraikan perkara-perkara penting yang perlu disemak, tuntutan insurans dan servis pembaikan dengan hanya menerusi satu sentuhan sahaja.
Ketika insiden kemalangan, pemilik akan dihubungi oleh Volvo Customer Care bagi mengesahkan yang mereka tidak memerlukan sebarang bantuan perubatan (jika tiada siapa yang tercedera).
Setelah pengesahan dibuat, sebuah pautan akan dihantar ke peranti pintar pemilik yang akan membuka sebuah aplikasi Car Accident Advisor.
Aplikasi ini akan mengarahkan pemandu untuk mengambil gambar bukti kemalangan, serta menyenaraikan pilihan pusat servis 4S berdekatan dan menghantar notifikasi digital kepada syarikat insurans bagi mempercepatkan urusan tuntutan kemalangan.