Perkhidmatan yang dinamakan sebagai Apollo Go Robotaxi itu memulakan operasi pada 2 Mei di Shougang Park, Beijing di mana kawasan itu merupakan lokasi penganjuran sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing tahun 2022.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Apollo Go untuk menjejak lokasi robotaxi, selain menggunakan fungsi lain seperti navigasi realiti maya, serta ciri hon jarak jauh.
Selaras dengan SOP COVID-19, setiap robotaxi ini juga disertakan dengan kod QR untuk diimbas oleh pengguna bagi menyahkunci kereta, serta tujuan pengesahan identiti.
Seperti yang diperkatakan, perkhidmatan ini memang tidak menampilkan peranan seorang pemandu, namun setiap robotaxi ini dilengkapi ciri 5G Remote Driving Service yang membolehkan pusat kawalan mengambil alih pemanduan di dalam situasi kecemasan.
Di dalam kawasan tersebut, pengguna boleh menetapkan lokasi seperti dewan sukan, ruang kerja, kedai kopi, dan hotel di sekitar Shougang Park, dan perkhidmatan ini juga akan digunakan secara rasmi oleh para atlit dan pegawai Sukan Olimpik Musim Sejuk tahun hadapan.