BMW M2 2023 kini di Malaysia, 460 hp, 550 Nm, dari RM598,800

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa bulan selepas membuat kemunculan rasmi di peringkat global, BMW Group Malaysia akhirnya mengumumkan kemunculan coupe pantas BMW M2 2023 untuk pasaran tempatan.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,580 mm, lebar 1,877 mm, tinggi 1,403 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,747 mm.

Berbanding M2 terdahulu, M2 generasi baharu ini membawakan penambahan 119 mm panjang, 33 mm lebar, dan jarak antar roda 54 mm lebih panjang, sementara tinggi dikurangkan sebanyak 11 mm.
 

M2


BMW M2 baharu ini menawarkan ruang kargo sebesar 390 liter, kapasiti yang agak besar untuk standard sebuah coupe dua pintu.

Sama seperti apa yang ditawarkan di luar sana, BMW M2 2023 membawakan enjin enam silinder sebaris M TwinPower 3.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 460 hp dan daya kilas 550 Nm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi Steptronic Sport lapan nisbah kelajuan yang membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.1 saat, dibantu dengan komponen pembeza aktif M pada gandar belakang.
 

M2


Kelajuan tertinggi adalah sekitar 250 km/j, atau boleh dipertingkatkan kepada 285 km/j menerusi pakej M Driver yang boleh dipasang secara retrofit di pengedar sah BMW di seluruh negara.

Sistem gantungan turut dipertingkatkan, di mana struktur suspensi depan dan belakang diperbuat daripada aluminium bertujuan untuk mengurangkan berat.

Selain daripada casis yang direka semula, BMW M2 turut mendapat manfaat daripada penggunaan kinematik gandar yang baharu, jarak trek yang turut dilebarkan, sistem stereng yang lebih jitu bagi menjadikan pemanduan dan pengendalian yang lebih lincah pada kelajuan tinggi.

Antara kelengkapan standard untuk BMW M2 termasuklah angkup brek enam omboh, sistem suspensi adaptif M dan sistem M Drive Professional.
 

m2


Rupa paras BMW M2 membawakan rekaan jeriji buah pinggang serba baharu yang sedikit berpetak, menyumbang kepada aspek penyejukan enjin dan brek yang lebih berkesan.

Elemen petak yang sama boleh dilihat pada bahagian bampar belakang yang dikemaskan dengan diffuser serta empat tip ekzos.

Secara standard, BMW M2 dilengkapi dengan rim aloi ringan M jejari berkembar 930 M Bicolour bersaiz 19 inci depan (20 inci belakang), serta kemasan M Shadowline berkilat.

Manakala BMW M2 dengan Pro Package pula didatangkan eksklusif dengan sistem brek M Compound berwarna merah berkilat, M Carbon Roof, M Lights Shadowline, dan rim aloi ringan 930 M Black bersaiz serupa.
 

M2


Ruang kabin BMW M2 pula menempatkan skrin paparan melengkung BMW Curved Display (kluster digital 12.3 inci + skrin infotainmen 14.9 inci) dengan paparan grafik spesifik M, tempat duduk M Sport berkuasa elektrik dengan logo M bercahaya, roda stereng M beserta paddle shifter dan butang M Mode berwarna merah, serta paparan head-up yang pertama diwujudkan pada sebuah M2.

Selain itu, terdapat juga ciri moden seperti sistem pencahayaan ambien, sistem kawalan iklim tiga zon automatik, pakej ruangan storan, Interior & Exterior Mirror Package, serta cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik.

Eksklusif untuk BMW M2 Pro Package ialah tali pinggang keledar M, sistem audio keliling Harman Kardon serta trim dalaman gentian karbon M.
 

M2


Aspek keselamatan tidak dilupakan untuk sebuah BMW M2 serba baharu, di mana ia turut mendapat ciri Driving Assistant yang merangkumi amaran keluar lorong, amaran penukaran lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan intervensi brek, amaran lintasan trafik belakang, pengelakan pelanggaran hadapan, informasi had laju, fungsi bantuan parkir serta kawalan jelajah dengan fungsi brek.

Terdapat lima warna menarik ditawarkan untuk BMW M2 2023 termasuklah Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red, diikuti dengan kemasan dalaman yang terdiri daripada kulit Vernasca hitam dengan sorotan eksklusif, kulit Vernasca hitam dengan jahitan kontras biru, atau kulit Vernasca Cognac dengan jahitan sulaman dekorasi.

Untuk makluman, BMW Group Malaysia telah membuka tempahan bagi BMW M2 2023 dalam talian, dengan harga jualan anggaran bermula dari RM598,800 untuk versi standard, atau RM642,800 untuk versi M2 Pro Package.
 

M2


Harga yang disebutkan itu tadi adalah termasuk dengan pakej jaminan dan servis lanjutan lima tahun, tidak termasuk insurans.

Berita Berkenaan

Berita Global
Oleh itu,BMW telah mengumumkan  penawaran aksesori  M Performance untuk M2 baru ini, termasuk…
Berita Global
Berdasarkan hantaran di Instagram Wilcoblok, beliau mendakwa gambar-gambar itu merupakan imej rasmi…
Berita Global
Rupa paras mana-mana model BMW tidak akan terlepas daripada menjadi bualan ramai, dan tidak…