Buat permulaan, kesemua unit iX5 Hydrogen itu akan digunakan sebagai model pameran dan demonstrasi untuk pasaran terpilih bermula musim bunga tahun depan.

Model eksperimen ini dikuasakan oleh motor elektrik berkembar eDrive generasi kelima dengan output gandingan 369 hp.
Tidak seperti model BEV standard, iX5 ini dilengkapi dengan sistem sel bahan api hidrogen yang berkeupayaan untuk menjana sehingga 168 hp (125 kW).

Sistem sel bahan api yang dibangunkan bersama Toyota itu turut menampilkan dua tangki storan hidrogen bertekanan 700 bar, dan mampu memuatkan sehingga enam kg bahan api hidrogen.
Di Jerman, BMW iX5 ini telah mendapat rekaan lantai serba baharu sebelum dipasangkan dengan dua tangki hidrogen itu tadi, diikuti sistem elektrik 400 voltan, sistem elektrik 12 voltan, bateri berprestasi tinggi, sistem sel bahan api dan motor elektrik.

Menurut BMW, model prototaip iX5 telah pun diuji di Arctic Circle awal tahun lalu dan terbukti mampu menawarkan prestasi maksimum walaupun suhu persekitaran serendah negatif 20 darjah Celcius.
Selain daripada itu, kenderaan dengan sel bahan api hidrogen ini memiliki kelebihan berbanding EV, seperti tempoh pengisian bahan api dalam masa beberapa minit, keupayaan untuk menunda muatan yang lebih berat disebabkan kekurangan pek bateri lithium-ion, serta pemanduan yang lebih selesa tanpa sistem suspensi yang lebih keras.