Cake Ösa - motosikal elektrik dengan rekaan modular, jarak gerak 92 km

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat motosikal elektrik dari Sweden, Cake baru-baru ini melancarkan model motosikal elektrik dengan rekaan modular, dinamakan sebagai Cake Ösa AP.

Model Cake Ösa ini dihasilkan sebagai pelengkap kepada model ala motorcross Kalk AP yang telah dilancarkan tahun lalu, menerusi kerjasama dengan Southern African Wildlife College dan Goal Zero di mana ia digunakan oleh renjer hutan dalam membanteras kegiatan pemburuan haram.
 

OSA


Dari segi ukuran, Cake Ösa AP memiliki jarak antara roda sepanjang 1,340 mm, jarak kelegaan tanah 220 mm serta ketinggian pelana 800 mm.

Sebagai perbandingan, motosikal Honda Monkey mempunyai dimensi jarak antara roda sepanjang 1,145 mm, jarak kelegaan tanah 175 mm dan ketinggian pelana 775 mm.
 

OISA


Cake menyifatkan model Ösa AP sebagai motosikal versatil dan boleh digunakan untuk apa jua keperluan, terima kasih kepada sistem modular clamp-on yang mampu memuatkan lebih daripada 1,000 konfigurasi dengan aksesori yang tersedia, serta had muatan sehingga 230 kg.

Ösa boleh didapati dalam dua versi, iaitu Ösa+ AP berkuasa 13.5 hp/151 Nm yang menawarkan jarak sehingga 84 km dengan kelajuan 90 km/j, sementara versi Ösa flex AP (5.4 hp/151 Nm) pula menawarkan jarak sehingga 92 km, namun kelajuan dihadkan kepada 45 km/j.
 

OSA


Tidak seperti model offroad Kalk AP, Ösa boleh bertindak sebagai 'stesen kuasa' yang lengkap dengan outlet 5V dan 12V, membolehkan anda menikmati aktiviti di luar jaringan grid nasional.

Harga jualan Ösa+ AP bermula dari $10,000 (RM41,900) sementara Ösa flex AP bermula dari $8,500 (RM35,615).

 

Cake Kalk AP


Sumber: New Atlas

Berita Berkenaan

Berita Global