Jam tangan yang nampak gagah ini merupakan model G-SHOCK pertama yang menggandingkan kombinasi Tough Solar, Triple Sensor (altimeter-barometer, kompas digital, termometer) serta sokongan Bluetooth.
Pengguna juga boleh mengakses fungsi tambahan seperti Location Indicator (paparan bacaan bereng dan jarak ke lokasi), serta Mission Log yang merekodkan sejarah aktiviti yang telah dibuat menerusi aplikasi mudah alih dalam peranti pintar.
Kesemua fungsi itu tadi turut dipaparkan menerusi skrin LCD kecil pada bahagian bawah dial jam, serta dua sub-dial pada bahagian kiri dan kanan.
Sebagai sebuah jam tangan yang lasak dan direka untuk persekitaran yang berpasir dan kotor, GWG-B1000 ini menggunakan casis (58.7 x 52.1 x 16.2 mm) yang diperbuat daripada Carbon Core Guard.
Ia turut menampilkan kerangka luar logam, diikuti pelindung pada posisi jam 12 dan 6 yang disaluti bahan karbon seakan berlian (DLC) untuk rintangan lelasan yang lebih baik.
Jam tangan Mudmaster GWG-B1000 ini menyokong pelarasan waktu automatik, fungsi jam randik dan kiraan menurun, kalis air sedalam 200 meter, dan sistem pencahayaan LED Super Illuminator.
Terdapat tiga warna yang boleh dipilih, iaitu GWG-B1000-1A (hitam), GWG-B1000-1A4 (merah) dan GWG-B1000-3A (hijau).
Ia bakal dilancarkan di Jepun pada 13 Oktober ini dengan tanda harga bermula dari 121,000 yen (RM3,833).