Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan lebih 40 anggota di kedua-dua pintu masuk darat membabitkan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, mulai tengah malam ini.
“Tepat jam 12 tengah malam ini kedua-dua pintu masuk membabitkan CIQ BSI dan CIQ KSAB akan ditutup sepenuhnya.
“Tiada perjalanan keluar masuk, termasuk bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura untuk keluar atau masuk ke negara ini, selepas tengah malam tadi.
“PDRM akan menempatkan dua pasukan di CIQ BSI dan CIQ KSAB bagi membantu Jabatan Imigresen Malaysia, malah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di dua fasiliti itu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya ketika dihubungi.
Pagi tadi, terdapat laporan mengenai nasib lebih 200,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura sama ada turut dihalang keluar dari negara akan ditentukan petang semalam.
Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia mencari nafkah di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Dalam perutusannya itu, Muhyidin dilaporkan berkata, tindakan drastik perlu diambil dengan segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.
Sumber: BH