Ford yang dahulunya memiliki hampir 30 platform berbeza untuk pasaran seluruh dunia kini sedang merancang untuk menggunapakai hanya lima platform modular sahaja untuk menjimatkan kos penyelidikan dan pembangunan.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Automotive News, pelan terbaharu Ford itu akan berkuatkuasa dalam masa beberapa tahun akan datang dan dijangka akan menjimatkan kos sebanyak $25.5 billion untuk tempoh lima tahun yang mendatang.
Platform modular tersebut merangkumi beberapa jenis kenderaan seperti platform pacuan roda belakang/semua roda (F-150, Expedition), platform unibodi pacuan roda hadapan/AWD (Kuga/Escape, Edge), platform unibodi pacuan roda belakang/AWD (Mustang, Explorer) serta platform unibodi kenderaan komersial (van) dan kenderaan elektrik.
Dengan penggunaan kelima-lima platform modular ini, Ford berharap agar dapat mengurangkan 20% peruntukan masa penyelidikan dan pembangunan sesebuah model dan kejuruteraan yang lebih berkesan (20-40%) berbanding platform terdahulu.