Ini juga sekaligus menjadi satu pencapaian baharu bagi DHL dalam usaha untuk mencapai sasaran pelepasan sifar emisi menjelang 2050.
Menurut laporan daripada Berita Harian, satu program perintis bakal dilaksanakan pada awal tahun 2022 bersama DHL untuk menggerakkan EV komersial di Malaysia.
Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan menjelaskan, "TNB komited untuk membina perkongsian yang saling menguntungkan dengan DHL, dan membantu mereka mencapai matlamat logistik EV, sementara TNB pula memainkan peranan kritikal dalam mewujudkan permintaan untuk penggunaan EV yang lebih tinggi di Malaysia.

Tambahnya, TNB juga turut merancang untuk membina lebih banyak stesen pengecasan EV untuk menampung peningkatan jumlah EV komersial di sepanjang laluan penghantaran DHL.
"Bagi TNB, kami bersedia untuk mewujudkan permintaan untuk EV atau meningkatkan penggunaan EV dalam negara dan menetapkan asas untuk penerimaan mobiliti karbon rendah di Malaysia.
"Kami terbuka untuk mengadakan lebih banyak perkongsian di pelbagai subsektor industri dan ingin mewujudkan lebih banyak zon EV yang akan memberikan penyelesaian yang lebih optimum untuk pelanggan kami dan juga TNB," katanya.
DHL bakal menjadi syarikat penyedia logistik pertama menggunakan EV sebagai kenderaan penghantaran di Malaysia apabila bakal menerima kehadiran tiga van elektrik pada separuh pertama tahun depan.
Van elektrik tersebut memerlukan masa tujuh jam pengecasan dan jarak pemanduan sejauh 200 km untuk sekali cas penuh.

Sumber: Berita Harian