Bagi mereka yang memiliki dron daripada DJI, ciri keselamatan seperti Return-To-Home, Altitute Limit, Obstacle Avoidance dan Geofencing merupakan antara ciri yang diperkenalkan bagi menjadikan pengoperasian dron lebih selamat.
Namun, bagaimana pula sekiranya dron anda - secara tidak sengaja - berada di kawasan laluan kapal terbang ringan/helikopter?
Menerusi ciri terbaharu yang diperkenalkan, iaitu DJI AirSense, ia mampu memberikan amaran kehadiran kapal terbang atau helikopter berhampiran bagi mengelakkan sebarang insiden pelanggaran.
AirSense bergantung kepada teknologi Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B) yang digunakan oleh pesawat masa kini.
Dengan adanya sistem ini, dron DJI mampu mengesan kehadiran pesawat di dalam masa nyata, dan memberikan amaran menerusi aplikasi DJI supaya merendahkan ketinggian posisi dron sekiranya AirSense mengesan kemungkinan akan berlakunya pelanggaran.
AirSense kini sudah pun didapati pada dron seperti Matrice 200 Series dan Mavic 2 Enterprise, dan ia akan diperluaskan kepada dron-dron DJI dengan berat melebihi 250 gram bermula tahun hadapan.
Sumber: DJI