Bakal bersaing dalam perlumbaan Italian Motocross Championship musim hadapan, Ducati telah mengambil masa selama dua tahun bagi menghasilkan prototaip jentera lumba motocross dengan tujuan untuk menguasai sepenuhnya cabaran perlumbaan itu.
Strategi terbaharu itu sekaligus membezakan Ducati dalam menghasilkan model paling berprestasi dan sporti iaitu melalui pertandingan atau perlumbaan, seterusnya mewujudkan siri produk yang mampu memenuhi kehendak peminatnya.
Bermula dengan perlumbaan motocross, projek yang memakan masa bertahun itu bakal menyaksikan penghasilan rangkaian lengkap motosikal dan enjin off-road, yang akan menjadi sebahagian dari keluarga model Ducati.
Fokus projek itu bagi menghasilkan model lebih ringan, ditambah dengan penghasilan komponen dan enjin yang mampu menyalurkan lebih kuasa.
Seperti yang diketahui para peminat Ducati, setiap jentera Ducati menghasilkan kuasa terbaik dalam kelasnya, hasil bantuan dari sistem Desmodromic yang digunakan pada semua jentera lumbanya termasuk dalam kategori MotoGP.
Membantu lagi perjalanan dalam dunia off-road, Ducati telah menandatangani perjanjian dengan juara dunia sembilan kali Motocross World Champion, Antonio Cairoli sebagai pelumba ujian, di mana dia akan memberikan input penting untuk pembangunan jentera lumba baharu itu.