ENAM PERKARA YANG ANDA PERLU TAHU PASAL SEDAN SEGMEN D TOYOTA CAMRY

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Camry merupakan sebuah sedan di dalam segmen D yang telah diperkenalkan di Malaysia sejak dari tahun 1994 lagi bagi menggantikan sedan Toyota Corona.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk makluman, Toyota Camry sebenarnya telah pun wujud di pasaran sejak dari tahun 1979 menerusi nama Celica Camry, dan selepas beberapa generasi ia telah berjaya dijual melebihi angka 21 juta unit di lebih 100 buah negara.

Di pasaran Jepun sendiri Toyota Camry telah terjual kira-kira 1.3 juta unit, namun jangka hayat sedan tersebut dijangka akan berakhir pada penghujung tahun ini disebabkan oleh prestasi jualan yang semakin merudum.

Kali ini, kami ingin membawakan kepada anda beberapa fakta menarik berkenaan sedan segmen D Toyota Camry.

 

1. Camry - mahkota sedan segmen D!

Camry


 
Tahukah anda, nama Camry sebenarnya diambil daripada perkataan Jepun kanmuri yang membawa maksud mahkota?

Ya, Camry juga mengikuti tradisi nama yang digunakan pada model-model penting yang bermula dari Toyota Crown, Toyota Corona (juga membawa maksud mahkota dalam Latin), dan Corolla (mahkota kecil dalam bahasa Latin).

Di beberapa pasaran, Toyota turut menggunakan nama yang berkait rapat dengan mahkota, seperti trim Atara (mahkota dalam Hebrew) di Australia, serta Toyota Scepter (aksesori untuk mahkota) di pasaran Jepun.

 

2. Toyota Camry ada dua versi model

Camnry


 
Toyota Camry merupakan salah satu model unik yang ditawarkan oleh Toyota.

Ini kerana model tersebut sebenarnya boleh didapati dalam dua versi, iaitu versi badan sempit (narrow-body) dan juga badan lebar (wide-body).

Camry versi kecil itu hanya dikhaskan untuk pasaran Jepun bagi memenuhi keperluan peraturan cukai yang dilaksanakan di negara itu, di mana sebanyak lima generasi telah diproduksikan bermula dari tahun 1982 sehingga tahun 2003.

Manakala versi badan lebar pula dihasilkan untuk pasaran global, dimulakan dengan sedan generasi pertama (XV10) yang wujud pada tahun 1991 sehinggalah generasi kelapan XV70 yang ada di pasaran kita pada ketika ini.

 

3. Generasi kelapan Camry guna platform TNGA - lebih sporti, lebih selesa

camry


Setelah tiga generasi sedan Camry dibangun menggunakan pelantar Toyota K (Toyota Alphard, Toyota Sienna, Lexus ES, Lexus RX), generasi kelapan akhirnya beralih kepada platform TNGA-K yang lebih moden.

Kelebihan yang ada pada platform ini?

Berbanding platform Toyota yang lama, TNGA-K menawarkan casis yang lebih tegar, titik graviti yang lebih rendah untuk pengendalian yang lebih baik, serta lebih selesa!

Apa lagi kelebihan yang ada pada Camry baru ini? Rujuk poin 4.

 

4. TNGA + enjin Dynamic Force + transmisi Direct Shift = Pakej sedan mantap!

Camry


Pada tahun lepas, UMW Toyota akhirnya mengemaskini penawaran sedan Camry ini dengan membawakan perubahan besar dari aspek mekanikal.

Berbanding sedan pra-facelift dengan enjin purba 2.5 liter, Camry facelift kini dibekalkan dengan nadi Dynamic Force bersesaran 2.5 liter aspirasi natural dengan janaan kuasa 209 PS @ 6,600 rpm, daya kilas 253 Nm @ 5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan nisbah kelajuan.

Menurut Toyota, kotak gear baharu ini jauh lebih kompak, lebih ringan dan lebih cekap.

Kelebihan sebenar Camry sebagai sebuah pakej sedan mantap tidaklah ditunjukkan saat kereta ini bergerak, sebaliknya apabila Camry sudah mula mencapai kelajuan yang tinggi di lebuh raya.

Anda boleh baca sendiri pengalaman pertama kami membawa sedan Camry ini menerusi pautan di bawah.

Baca: Pandu Uji Toyota Camry Facelift

 

5. Camry facelift - banyak ciri dipertingkatkan

Camry


Dari segi luaran, tidak banyak perbezaan yang ketara dibawakan, melainkan rekaan hadapan yang direka sedikit agresif, diikuti dengan rim aloi bersaiz 18 inci dengan rekaan baharu.

Sementara unit lampu belakang yang tersedia seksi itu diberikan efek asap.
 

Camry


Perubahan yang besar sebenarnya ditumpukan pada ruang kabin, di mana anda akan melihat kehadiran ciri seperti paddle shifter, skrin paparan Display Audio bersaiz sembilan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pemantauan keliling (PVM), mod pemanduan dan sistem pendingin hawa tiga zon automatik.
 

Camry


Untuk golongan bos yang lebih gemar duduk di belakang, Toyota telah menambah butang kawalan fungsi pada perehat tangan yang membolehkan bos-bos mengubah tetapan seperti sudut sandar kerusi belakang, kelantangan audio, kawalan suhu serta membuka atau menutup penghadang suria pada kaca belakang.

 

6. Aspek keselamatan nombor satu!

Camry


Secara standard, Toyota Camry telah dibekalkan standard dengan kelengkapan Toyota Safety Sense 2.5+ yang merangkumi ciri berikut:
•    Amaran Pra-Pelanggaran (PCS)
•    Amaran Keluar Lorong (LDA)
•    Bantuan Pengekalan Lorong (LKA) - ditambah Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
•    Dynamic Radar Cruise Control - ditambah ciri Low Speed Follow (semua kelajuan), kawalan berasaskan lampu isyarat membelok dan pengurangan kelajuan di selekoh
•    Bantuan Suluhan Tinggi Automatik

Selain daripada itu, urusan untuk keluar masuk kawasan parkir juga telah dipermudahkan dengan kehadiran ciri seperti Brek Automatik Lintasan Trafik Belakang (RCTAB) dan bantuan Intelligent Clearance Sonar (ICS) yang akan memberikan amaran berbentuk visual dan audio bagi mengurangkan impak kemalangan atau kerosakan.

 

Toyota Camry boleh didapati di pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM219,800.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Ya, tekaan anda sama dengan apa yang penulis fikirkan - dua musuh ketat datang dari pengeluar Jepun…
Berita Global
Satu tempoh jangka hayat yang agak panjang untuk sesebuah generasi kereta moden. Setelah…
Berita Global
Ia dilancarkan secara rasmi oleh Honda Prospect Motor, dengan penawaran spesifikasi tunggal Accord…