Dengan adanya jaringan stesen pengecasan Shell Recharge ini, para pemilik kenderaan elektrik (EV) boleh menikmati pengecasan pantas DC sehingga 180 kW di enam buah stesen minyak Shell di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Awal tahun yang lalu, stesen Shell Recharge yang pertama telah pun dibuka di Shell Tangkak Lay-by (Arah Selatan), diikuti dengan lokasi kedua di Shell R&R Pagoh (Arah Utara) pada bulan Oktober yang lalu.
Sementara empat lagi lokasi kini telah pun sedia untuk digunakan oleh para pemilik EV, terletak di Shell R&R Seremban (Arah Utara & Selatan), Shell RTC Simpang Pulai (Arah Utara) dan Shell R&R Tapah (Arah Selatan).
Kesemua Shell Recharge yang disediakan ini berada di dalam julat kurang dari 200 km daripada setiap poin bagi membolehkan kebanyakan pemilik EV mampu tiba di sesebuah lokasi di sepanjang PLUS tanpa perasaan kebimbangan jarak (range anxiety).
Pemilik Porsche yang mahu meneruskan perjalanan ke arah utara boleh mendapatkan khidmat pengecasan pantas di pengedar Porsche Centre Pulau Pinang.
Stesen HPC Shell Recharge dilengkapi dengan pengecas berprestasi tinggi 180 kW dengan dua penyambung jenis CCS Type 2, membolehkan sebuah EV mendapat pengecasan kuasa penuh 180 kW, atau dua EV dicas serentak pada kuasa maksimum 90 kW setiap satu.
Untuk memudahkan cara, Shell turut mengintegrasikan aplikasi ParkEasy yang membolehkan pemilik EV menempah slot pengecasan sehingga 60 minit lebih awal, selain menyediakan kemudahan navigasi ke stesen pengecasan yang mahu dituju.
Pengalaman memandu EV pada jarak jauh
Minggu lalu, pihak Shell Malaysia telah menjemput Careta untuk merasai sendiri pengalaman memandu sebuah kenderaan elektrik (lebih tepat lagi Porsche Taycan) sejauh 741 km merentasi Lebuhraya Utara-Selatan.
Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, untuk membuktikan bahawa penggunaan kenderaan elektrik kini bukan lagi satu penghalang untuk rakyat Malaysia bergerak dengan lebih jauh.
Hari pertama, kami diberikan sebuah Taycan 4S (jarak gerak pada skrin paparan – 334 km) bergerak dari Porsche Johor Bahru, dan setibanya di Shell Recharge R&R Pagoh, sedan elektrik yang kami pandu ini memaparkan sisa jarak sejauh 210 km.
Terima kasih kepada pengecasan pantas DC 180 kW selama 10 minit (lebih kurang), ia mampu menambah jarak gerak kepada 327 km untuk kami teruskan perjalanan ke R&R Seremban (Arah Utara).
Selepas perjalanan sejauh 126 km, kami tiba di Shell Recharge R&R Seremban (Arah Utara) dengan peratusan bateri adalah sekitar 56 peratus dan jarak tersisa 203 km.
Hari kedua pula, kami diberikan peluang memandu Taycan 4 Cross Turismo dengan peratusan bateri 95 peratus dan jarak gerak 378 km apabila memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur.
Setelah memandu sejauh 89 km, kami berhenti rehat seketika di Behrang, dan pada ketika ini Taycan 4 Cross Turismo menunjukkan kapasiti bateri sekitar 75 peratus dengan jarak gerak 301 km.
Setelah itu, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Shell Recharge, Shell Simpang Pulai untuk sesi pengecasan pantas.
Pemeriksaan pantas pada paparan meter mendapati wagon elektrik ini telah pun menggunakan kapasiti bateri hampir separuh dengan jarak perjalanan tersisa sekitar 210 km.
Dengan kehadiran jaringan stesen pengecasan pantas yang telah pun wujud di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan tidak dilupakan corak pemanduan yang bersesuaian, penulis kira pemanduan jarak jauh merentas negeri kini tidak lagi menjadi satu masalah besar terutama kepada para pemilik Porsche Taycan.
Berikut merupakan kadar pengecasan yang dikenakan di setiap Shell Recharge, dan kadar ini berbeza mengikut keahlian dan tempoh masa yang digunakan.