Jika anda perasan, kedua-dua 'sedan' ini sudah tidak lagi mempunyai perkadaran sedan tradisional yang menggunaan rekaan tiga kotak, seperti yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz pada model-model C-Class dan juga E-Class.
Rekaan baharu kedua-dua sedan EQE dan EQS itu dilihat seakan campuran sedan, hatchback (lebih kepada liftback) dan coupe. Kenapa begitu?
Menurut laporan daripada Top Gear, bos rekaan Daimler Gorden Wagener menjelaskan, proses elektrifikasi model masa kini bakal membunuh sedan tradisional (dengan rekaan konvensional tiga kotak) atas beberapa sebab.

"Sebab pertama, aspek aerodinamik. Sebab kedua, proses memuatkan pek bateri setebal enam inci ke dalam sedan tiga kotak tidak menjadikannya nampak menarik, ia nampak buruk. Jadi anda perlu melakukan sesuatu untuk menjadikan rekaan akhir lebih seimbang.
Meskipun peralihan kepada trenkuasa elektrik memberikan lebih kebebasan dari segi rekaan, sedan-sedan premium bertaraf mercu sememangnya memerlukan pek bateri yang jauh lebih besar, dan menurut Wagener ini akan merosakkan perkadaran anggun yang terdapat pada rekaan sedan tiga kotak tradisional.
"Disebabkan itu, kami hadir dengan rekaan yang agak berani untuk model-model sedan EQ, disebabkan ia jauh lebih bergaya.
"Pada masa hadapan, kami perlu memastikan supaya tidak semua model adalah sama dari segi reka bentuk, namun kebimbangan ini sebenarnya telah pun wujud sejak 30 tahun yang lalu. Kami berjaya menjadikannya kelihatan berbeza, dan saya yakin kami mampu melakukannya pada masa akan datang.
Sumber: Top Gear