Fahmi Fadzil - 10 individu sebar berita palsu subsidi diesel ditarik balik telah dikenal pasti

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengenal pasti individu yang menyebarkan berita palsu kononnya Kementerian Kewangan akan menghapuskan subsidi diesel mulai 1 Januari depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya sudah menyerahkan maklumat itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"MCMC sudah kenal pasti lapan hingga 10 penyebar (berkaitan mesej palsu kononnya subsidi diesel dihapuskan) dan saya difahamkan laporan polis sudah dibuat berhubung sebaran fitnah itu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penyebaran maklumat palsu di media sosial yang mendakwa Kementerian Kewangan akan menghapuskan subsidi bahan bakar itu bermula 1 Januari 2024.

Susulan penyebaran mesej itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi kenyataan semalam, menafikan perkara terbabit dan menyifatkannya sebagai tidak benar.

KPDN sebaliknya memaklumkan kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem 'fleet card' dan Sistem MySubsidi Diesel, membabitkan enam syarikat yang menerima kuota bagi 'skid tank', yang akan tamat tempoh pada 14 Januari depan.

Menurut kenyataan itu, projek rintis berkenaan tidak membabitkan pengguna kenderaan diesel individu.

Mengulas lanjut, Fahmi meminta orang ramai supaya tidak tertipu dengan dakwaan sedemikian.

Beliau turut meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang mesej dan kandungan palsu yang dipaparkan media sosial di talian 016-2206262.

"Hantarkan aduan kepada talian ini dan tindakan segera diambil melalui penerbitan penafian daripada kementerian atau media massa," katanya.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Jelasnya, ini kerana tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lalu dan…