Feri P. Pinang perlu dipertingkatkan kualiti, bukan dihentikan

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbang semula cadangan bagi menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan bot katamaran.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malah perkhidmatan pengangkutan awam laut yang ikonik itu perlu ditingkatkan kualiti serta perkhidmatan dan bukan ditamatkan begitu sahaja.

Pengerusi Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang, Hazizi Padzil, berkata sehingga kini cadangan menggunakan bot katamaran tidak jelas diperincikan kepada orang awam termasuk jenis bot yang akan digunakan.

Walaupun terdapat bot katamaran besar yang mempunyai ruang kepada kenderaan, harganya begitu mahal manakala mengikut perkiraan daripada Kerajaan Persekutuan, bot katamaran yang dicadangkan hanya boleh memuatkan penumpang pejalan kaki.

"Bot katamaran dilihat sebagai bot yang moden dan penumpang pejalan kaki semestinya sangat teruja bagi menggunakannya namun ia tiada ruang bagi penumpang berkenderaan ringan seperti motosikal, kereta dan van.

"Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang berkenderaan terutama penunggang motosikal yang memikirkan risiko keselamatan jalan raya selain pemandu kereta pada waktu kemuncak dan ketika musim hujan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam Dewan Rakyat pada 7 Disember lalu menyatakan seramai 1.5 juta penumpang menggunakan perkhidmatan feri dalam tempoh setahun dan sebanyak 200,000 daripada jumlah itu adalah penumpang berkenderaan.

Hazizi berkata, memang terdapat jurang yang besar sekiranya mahu dibandingkan jumlah penumpang berkenderaan itu dengan penumpang pejalan kaki namun ia bukanlah angka kecil dan tidak perlu dihiraukan.

"Kita tidak menolak pemodenan dan diganti dengan perkhidmatan pengangkutan air lain.

"Namun sumber lama perkhidmatan sedia ada bagi menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau negeri ini, masih boleh ditingkatkan kualiti dan perkhidmatannya," katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Kuala Lumpur, Hayati Abdul Tahir, 36, berkata beliau yang datang bersama kira-kira 10 ahli keluarga hanya mengetahui khabar angin yang tular di media sosial mengenai penamatan operasi feri selepas tiba di Pulau Pinang pagi tadi.

"Ini kali kedua saya menaiki feri Pulau Pinang dan kali pertama ketika berusia 12 tahun, sudah tentu ia memberi kenangan manis.

"Sekiranya digantikan dengan penggunaan bot baharu, wajarlah ia dikekalkan sebagai tarikan dan kesinambungan sejarahnya," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut meminta Ka Siong menilai kembali dan membenarkan feri sedia ada dibangunkan semula supaya kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri kini dapat juga merasai perkhidmatan feri baharu yang bakal dipesan oleh kementerian itu ataupun Penang Port Sdn Bhd kelak.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penganalisis dan pakar sistem pengangkutan, Abi Sofian Abdul Hamid, berkata jajaran itu,…
Berita Domestik
  Tambah beliau, isu tersebut sememangnya dalam perhatian kerajaan malah Jawatankuasa Khas Kabinet…
Berita Domestik
"Feri Pulau Pinang adalah sesuatu yang nostalgia. Jadi rakyat Pulau Pinang cukup bertuah disediakan…