Penganalisis dan pakar sistem pengangkutan, Abi Sofian Abdul Hamid, berkata jajaran itu, menyambungkan tempat strategik yang menepati aspek permintaan dan penawaran pengguna, dengan setiap stesen menjadi hub pengangkutan yang efisien serta mudah diakses.
"Justeru jaringan sokongan 'kilometer terakhir' dan yang berkaitan perlu diambil kira. Ini termasuk pengangkutan ulang-alik dan kemudahan parkir.
"Jika dilihat kepada pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), projek ini juga akan melibatkan konsep pembangunan transit, di mana stesen LRT akan menjadi tarikan kepada pembangunan untuk kediaman dan pusat pekerjaan," katanya.
Pengasas Thought Partners Group Consulting (TPG) ini menjelaskan, projek itu dapat membantu aspek mobiliti hijau dengan pengurangan penggunaan kenderaan dan pengeluaran karbon sejajar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), jika semua perkara didasarkan kepada dapatan kajian dan dilaksanakan dengan jitu.
Secara teori, beliau berkata, dengan adanya stesen di lokasi yang menjadi tarikan pelancong, ia pastinya memudahkan pergerakan pelancong dari satu tarikan ke tarikan yang lain, termasuk Stesen Penang Sentral yang menawarkan pergerakan seterusnya melalui mod pengangkutan yang berbeza.
Mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan mengambil alih secara rasmi projek LRT terbabit daripada kerajaan negeri, Abi Sofian berkata, ia akan memastikan pelbagai aspek pengurusan projek dijalankan lebih baik kerana ia melibatkan MRT Corp yang cukup berpengalaman dalam menyediakan pengangkutan pantas di Lembah Klang.
Perunding perniagaan industri pelancongan dan pengangkutan, YS Chan berkata, selain memanfaatkan penumpang, industri pelancongan pasti akan dapat rangsangan kerana Pulau Pinang mempamerkan kecemerlangan dalam pembuatan produk berteknologi tinggi, bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah global.
"Pengunjung tidak perlu lagi mengharungi kesesakan lalu lintas kerana perjalanan menggunakan LRT mudah. Mereka akan teruja melihat sebilangan besar penduduk menikmati kemudahan itu. Bagaimanapun, perancangan keseluruhan laluan LRT mestilah dilakukan dengan teliti dan lokasi stesen mestilah strategik," katanya.
Ditanya sama ada pembinaan LRT akan menjejaskan operasi perkhidmatan feri, Chan yang juga Jurulatih Induk Pelancongan ASEAN, percaya ia bukan isu kerana perkhidmatan feri hanyalah pelengkap kepada perkhidmatan jalan raya dan rel.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula menyifatkan projek LRT itu akan memberi pelbagai manfaat dari segi pembangunan sosioekonomi kepada penduduk di Pulau Mutiara untuk jangka panjang.
Meskipun projek LRT itu tidak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan lalu lintas, beliau yakin ia dapat membantu rakyat yang terpaksa berdepan dengan masalah itu yang semakin mendesak.
Projek LRT dengan jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen, termasuk dua stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral, dijangka dimulakan September atau Oktober tahun ini.
Kemudahan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tren elektrik (ETS) turut disediakan di jajaran LRT Mutiara, yang disasarkan beroperasi pada 2030.
Minggu lalu, Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri susulan keputusan Jemaah Menteri meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan pada 22 Mac.