Secara asasnya, Ferrari 296 GTS membawakan spesifikasi yang hampir sama dengan model 296 GTB, di mana perbezaan yang ketara hanyalah ketiadaan struktur bumbung kekal dan digantikan dengan bumbung jenis retractable hardtop (RHT).
Tetapan yang sama digunakan pada model Ferrari SF90 Stradale ini hanya memerlukan masa kira-kira 14 saat untuk dibuka dan ditutup sepenuhnya pada kelajuan 45 km/j.

Selain itu, skrin belakang juga boleh dilaras bagi memastikan ruang kabin kekal selesa biarpun dalam keadaan bumbung terbuka.
Tipikal untuk sebuah model convertible, berat badan biasanya akan meningkat disebabkan oleh tahap ketegaran casis yang ditambahbaik.
Namun, dengan padanan pakej Asetto Fiorano, Ferrari 296 GTS memiliki berat sekitar 1,540 kg sahaja, atau 70 kg lebih berat berbanding model 296 GTB.

Pakej Asetto Fiorano yang disebutkan itu tadi merangkumi penambahan ciri seperti penyerap hentak boleh laras Multimatic, penggunaan bahan ringan gentian karbon yang meluas, liveri yang diinspirasikan daripada jentera 250 Le Mans, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R.
Ferrari 296 GTS masih lagi mengekalkan trenkuasa plug-in hybrid (PHEV) yang terdiri daripada enjin bentangan V6 turbo berkembar 2.9 liter (663 hp) motor elektrik dan sistem transmisi automatik klac berkembar lapan nisbah kelajuan - kotak gear yang sama dipasang pada model SF90 Stradale, Roma dan Portofino.
Secara keseluruhan, ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 819 hp dan daya kilas 740 Nm, dengan kelajuan tertinggi sekitar 330 km/j.

Disebabkan trenkuasa masih lagi sama seperti model 296 GTB, 296 GTS mampu memecut sepantas 2.9 saat dari 0-100 km/j, namun pecutan 0-200 km/j pula memakan masa 7.6 saat.
Jarak operasi sifar emisi juga masih lagi kekal 25 km, terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 7.45 kWh.

Harga jualan untuk Ferrari 296 GTS di Malaysia bermula dari RM1,448,000 tidak termasuk cukai, insurans serta pilihan penyesuaian yang turut ditawarkan pada model ini.
Setiap unit Ferrari didatangkan dengan pakej penyelenggaraan selama tujuh tahun, atau jarak perbatuan 120,000 km yang mana tiba dahulu, di mana Ferrari menyarankan sela masa servis untuk setiap 20,000 km atau sekali dalam tempoh setahun tanpa had perbatuan.