Festival Toyota Gazoo Racing 2021 kembali dengan skala yang lebih besar

oleh Mohamad Hanif|
Musim Keempat Festival Toyota Gazoo Racing akan bermula pada Januari 2021 dan akan menampilkan pembaharuan yang melibatkan tiga siri perlumbaan, 11 perlumbaan menakjubkan dengan jumlah hadiah tunai terkumpul bernilai RM420,000.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai lanjutan kepada kejayaan musim-musim sebelumnya, Musim Keempat nanti bakal terus diterajui oleh Vios Challenge sebagai acara utama, dengan tambahan pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup (perlumbaan endurans).

Vios Challenge akan menampilkan tiga pusingan keseluruhannya dengan enam perlumbaan, sementara GR Vios Sprint Cup bakal menyaksikan dua pusingan dengan total empat perlumbaan.

Sementara itu, GR Enduro Cup pula akan berlangsung seiringan dengan Perlumbaan Endurans Sepang 1,000 KM.

 


"Tiga acara perlumbaan berasingan ini akan menerajui kehadiran Gazoo Racing (GR) dalam sukan permotoran di Malaysia. Seperti yang anda tahu, Gazoo Racing merupakan payung kepada semua aktiviti berkaitan sukan permotoran melibatkan Toyota di peringkat global.

"Selepas kejayaan tiga musim penganjurannya, Festival Toyota Gazoo Racing 2021 akan hadir dengan komitmen Toyota yang lebih besar untuk menyumbang kepada pembangunan sukan permotoran di sini," jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

"Musim Keempat Festival Toyota Gazoo Racing akan menjadi lebih menarik, menawarkan semua yang terlibat satu pengalaman yang berbeza dan memuaskan."

Dalam tiga musim Vios Challenge terdahulu, sejumlah tiga juta penonton telah menyaksikan perlumbaan itu dari dalam talian, selain daripada menarik kehadiran kira-kira 215,000 orang bagi semua 11 penganjurannya setakat ini.

TGR/VIOS CHALLENGE Vios Challenge akan terus kekal dengan format one-make race melibatkan empat kelas perlumbaan: kelas Promotional untuk selebriti; Super Sporting untuk pemandu profesional; Sporting untuk pemandu baru dan amatur; dan Rookie yang baru diperkenalkan, untuk pemandu muda.

 


Dalam Kelas Promotional, pelakon Shukri Yahaya akan mengepalai barisan selebriti yang antara lain akan turut disertai oleh Janna Nick, penyampai Nabil Ahmad dan penyanyi seperti Wani Hasrita, Nabila Razali dan Khai Bahar.

Mereka akan disertai oleh tiga pendatang baru iaitu pelakon Zizan Razak, penyanyi/penulis lagu Talitha dan personaliti TV Ahirene Ahirudin.

Kelas Sporting pula akan disertai tidak kurang daripada 18 pemandu dengan jangkaan untuk menobatkan juara baru. Antara nama-nama yang perlu diberi perhatian termasuk naib juara musim lalu dan pemandu pasukan Dream Chaser, Bradley Benedict Anthony, naib juara Musim Ketiga, Haji Sutan Mustaffa dan nama-nama lain seperti Kenneth Koh, Adam Khalid, Dato' Dr Ken Foo, Lim Chun Beng dan Tom Goh.

 


Dalam kelas Super Sporting pula, saingan bertambah sengit.

Juara dua kali, Tengku Djan Ley kembali untuk mempertahankan kejuaraannya. Juara kelas Sporting musim lalu dan juara Vios Challenge yang paling muda, Hayden Haikal yang berusia 16-tahun juga turut dinaikkan kelas untuk bersaing dalam Super Sporting.

Pesaing lain yang perlu juga diberi perhatian adalah juara Musim Kedua, Boy Wong, naib juara musim lalu, Mark Darwin, juara tempat ketiga musim lalu, Freddie Ang serta nama-nama besar lain seperti William Ho, Kenny Lee, Keifli Othman, Syafiq Ali dan juara kelas Sporting sebelum ini, Brendan Paul Anthony.

"Saya teruja untuk berlumba disamping pelumba-pelumba profesional lain. Standard pemanduan, seni perlumbaan dan pengalaman sudah tentu akan lebih tinggi dan ini yang saya inginkan dan percaya ia akan menyumbang kepada pembelajaran penting untuk saya sebagai pemandu," jelas Hayden.

 


Musim Keempat Vios Challenge juga bakal menyaksikan perlumbaan sulung bagi Kelas Rookie yang melibatkan enam pelajar daripada Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing menggunakan kereta saloon buat pertama kalinya.
Berpindah daripada perlumbaan simulator kepada kereta saloon sebenar, mereka terdiri daripada Mika Hakimi, 17 dan Naquib Azlan, 20; serta pelumba gokart Amer Harris, 17; Jwan Hii, 18; Putera Adam, 14; dan Troy Eimann, 16.

Merupakan usaha pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh sebuah syarikat automotif di Malaysia, program berkenaan, yang diterajui oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd, mencari dan mendidik enam pelumba (berdasarkan pencapaian mereka dalam sukan gokart dan simulator).

Mereka kemudiannya dikehendaki untuk menjalani latihan di luar dan juga di dalam litar di bawah seliaan pelatih-pelatih berpengalaman.

Perlumbaan akan disambung pada Januari 2021 dengan perlumbaan pembukaan Musim Keempat akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. Pusingan 2 akan berlangsung pada Julai, juga di lokasi yang sama, sementara Pusingan 3 dan yang terakhir pada bulan September.

Sama seperti musim sebelum ini, Toyota Vios Challenge akan menawarkan hadiah wang tunai kepada setiap dua perlumbaan dalam satu-satu hujung minggu ia berlangsung, serta hadiah wang tunai bagi pemenang keseluruhan pada penghujung musim.

 


Sebagai bonus tambahan untuk semua pelumba dan pasukan, UMW Toyota Sdn Bhd turut mengumumkan penganjuran sulung perlumbaan GR Vios Sprint Cup dan GR Enduro Cup.

Vios Sprint Cup akan melibatkan dua perlumbaan dalam setiap pusingan atau keseluruhannya empat perlumbaan dalam dua pusingan yang diadakan bersempena dengan acara Siri Kejuaraan Malaysia.

Bagi Enduro Cup pula, ia akan diadakan sempena Perlumbaan Sepang 1,000 KM sebagai kemuncak kalendar perlumbaan Musim Keempat. Semua perlumbaan akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Acara tambahan ini berasingan daripada siri Toyota Vios Challenge dan direka untuk memberikan pemandu-pemandu dan pasukan mereka lebih banyak aktiviti perlumbaan dan peluang untuk memenangi hadiah wang tunai tambahan sepanjang kalendar perlumbaan tahun 2021 nanti.

 


Kedua-dua GR Vios Sprint Cup dan Enduro Cup akan kekal dengan format one-make race, menampilkan kenderaan yang sama digunakan dalam Vios Challenge. Perlumbaan ini bagaimanapun akan diadakan dalam satu kelas terbuka sahaja dan pemandu-pemandu dalam Vios Challenge tidak diwajibkan untuk ikut serta di dalam GR Vios Sprint Cup dan Enduro Cup.

Bagi pasukan pula, mereka juga tidak semestinya mempertaruhkan pelumba yang sama bersaing dalam Vios Challenge dan bebas untuk menggunakan pemandu baru atau lain untuk acara itu.

Keputusan dalam dua acara ini juga tidak akan mempengaruhi kedudukan mata keseluruhan yang dikumpul dalam siri Toyota Vios Challenge.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Disebabkan situasi pandemik, penganjuran acara tahun keempat TGR Festival terpaksa ditangguhkan…
Sukan Bermotor
Sebelum ini, UMW Toyota Motor mengumumkan pusingan pembukaan bagi Musim Keempat Toyota Vios…
Berita Domestik
  Beberapa fakta yang perlu anda tahu tentang TGR untuk pusingan pembukaan Musim Ketiga yang akan…