Ini kerana Ford dengan baik hatinya melancarkan program pengalaman pemanduan yang menyeluruh dengan memberikan akses kepada acara seperti hari litar, autocross, latihan drift dan banyak lagi acara yang bakal berlangsung di seluruh Amerika Syarikat.
Acara terulung yang bakal dianjurkan ialah Dark Horse Track Attack yang akan berlangsung di Charlotte Motor Speedway yang dianjurkan dengan kerjasama Ford Performance Racing School, percuma untuk semua pemilik Mustang Dark Horse.
Pendaftaran akan dibuka pada Januari 2024, di mana para pemilik Mustang Dark Horse akan menikmati sendiri latihan amali dan pemanduan di dalam litar yang akan diajar khas dengan nisbah pengajar-kepada-peserta 3:1.
Peserta akan mendapat pakej latihan yang disesuaikan di atas skid pad, autocross serta litar, lengkap dengan sesi kelas khas dan pemanduan hot lap yang akan disertai sendiri oleh tenaga pengajar.
Pemilik Mustang EcoBoost dan Mustang GT juga berpeluang untuk menyertai acara yang sama, namun penglibatan mereka akan dihadkan kepada menu yang dipilih termasuklah kelas line-lock burnout, drift, pemanduan litar dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, Ford turut mewujudkan portal dalam talian di mana para pemilik boleh berkongsikan pengalaman mereka dengan pemilik Mustang yang lain.