Menyedari populariti Mustang Bullitt, Ford telah membuat keputusan untuk menyambung produksi dan kali ini untuk penghantaran tahun depan.
Mustang Bullitt bukan setakat istimewa ditepek dengan grafik atau warna khas sahaja, enjin 5.0 liter V8 menggunakan sistem kemasukan udara terbuka, manifold kemasukan (intake manifold), throttle body 87 mm dan kalibrasi modul kawalan nadi kuasa daripada model Shelby Mustang GT350.
Kuasa Mustang Bullitt ialah 459 PS dengan tork 526 Nm yang lebih tinggi berbanding Mustang biasa. Transmisi manual enam kelajuan dibekalkan fungsi rev-match untuk penukaran lebih lancar.
Model ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Shadow Black atau classic Dark Highland Green dan roda 19 inci Torq Thrust, angkup brek Brembo™ berwarna merah dan penutup tangki minyak dengan logo Bullitt.
Bahagian dalaman dilengkapi paparan digital LCD 12 inci, kerusi Recaro dan sulaman mengikut warna kereta. Plak khas dengan nombor siri dilekapkan pada papan pemuka sebelah penumpang.
Sistem audio yang dibekalkan hebat iaitu daripada B&O PLAY dengan 1000 watt melalui 12 pembesar suara prestasi tinggi.
Pelanggan di United Kingdom boleh memiliki Mustang Bullitt pada harga £48,210 (RM253,747) dan penghantaran akan bermula pada awal tahun depan.
Kepada yang berminat dengan edisi ini caranya ialah memesan daripada pengimport bebas atau menunggu ia dibawa masuk atau ditawarkan sendiri oleh Ford Malaysia.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
*£1.00 = RM5.26