Terbaharu, rakan pembaca Careta Faiz Faizz telah menghantar gambar spyshot sebuah Golf generasi baharu berwarna merah yang sedang berehat sebentar di R&R Gambang (menghala ke timur).
Berdasarkan pengamatan, Golf Mk8 itu merupakan varian GTI berdasarkan kehadiran garisan merah pada gril hadapan, logo GTI (yang sengaja ditutup), serta tip ekzos tunggal pada bahagian kiri dan kanan bumper belakang.
Mengikut spesifikasi, VW Golf GTI datang dengan nadi EA888 2.0 liter TSI yang mampu menjana 242 kuasa kuda dan 370 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar automatik tujuh nisbah kelajuan.
Sistem gantungan Volkswagen Golf GTI kini didatangkan dengan sistem kawalan dinamik yang digelar sebagai Pengurusan Dinamik Kenderaan yang mampu mengawal kunci differensial elektronik XDS dan suspensi adaptif DCC.
Talaan yang dilakukan membolehkan Golf GTI duduk lebih rendah 0.6 inci berbanding Golf standard, malah pemandu boleh menetapkan tetapan tersendiri selain daripada mod Comfort, Eco dan Sport sedia ada.
Ruang kabin Golf GTI dihiasi dengan roda stereng sports baharu yang dilengkapi dengan kawalan sentuh dan tombol gear manual klasik (untuk model manual) serta tempat duduk GTI tartan.