Volkswagen Golf Mk9 (generasi kesembilan) akan menjadi model VW pertama yang dibangun menggunakan platform SSP, menggantikan penggunaan platform MQB.
Selain daripada Volkswagen Golf, platform SSP juga dijangka akan menjadi asas kepada model-model premium daripada jenama Audi dan Porsche, menjadikan Golf Mk9 sebagai salah satu hatchback yang paling canggih ada di pasaran.
Antara ciri yang bakal dimuatkan termasuklah senibina elektrik 800 voltan, bateri baharu yang boleh dicas dari 10-80 peratus dalam masa serendah 12 minit, selain sokongan pemanduan autonomi dan ciri terhubung yang lain.
Bagaimana pula dengan hot hatch Golf?
Usah risau kerana Thomas Schäfer, bos jenama VW mengesahkan model-model pantas Golf akan terus ditawarkan kelak.
Jelasnya, "anda memerlukan model yang menarik. R sentiasa menjadi model yang paling mengujakan, dan kami telah menghabiskan banyak masa dan wang untuk mendapatkan jenama itu dan kami tidak akan mensia-siakannya.
"Kami akan memanggilnya sebagai model R, sekiranya model tersebut didefinisikan dari segi prestasi dan pacuan semua roda."
Ini bermakna, penggunaan nama GTX sebagai penanda model pantas akan digantikan dengan lencana GTI dan R.
Sama seperti model Golf terdahulu, model GTI akan dikekalkan sebagai hot hatch pacuan dua roda, sementara Golf R pula sebagai hot hatch pacuan semua roda.
Sumber: Autocar