Memetik laporan daripada Reuters, lebih 40 daripada 150 buah pengedar di Amerika Syarikat mencatatkan majoriti penjualan motosikal jenama tersebut datangnya daripada golongan peminat tegar, pemilik Harley dan penunggang yang berusia.
Direka sebagai sebuah produk halo bagi memperlihatkan masa hadapan Harley-Davidson, Livewire memiliki spesifikasi yang amat memberangsangkan, 105 kuasa kuda dan berat menghampiri 250 kilogram disebabkan pek bateri berkapasiti 15.5 kW itu.
Untuk sekali cas, Livewire mampu menawarkan jarak operasi sejauh 235 km dengan masa pengecasan yang hanya mengambil masa kurang dari sejam.
Namun, bagi golongan sasaran yang diharapkan, harga jualan Livewire bermula dari $29,799 (RM124,963) itu dilihat agak mahal di mana dengan harga yang serupa pembeli boleh mendapatkan sebuah Tesla aras mula atau superbike yang jauh lebih cool.
Walaupun Harley-Davidson meletakkan harapan yang tinggi pada Livewire, jumlah jualan yang direkodkan bisa membuatkan pengeluar tersebut pening kepala, apatah lagi tahun lalu Harley mencatatkan penurunan angka jualan yang mendadak dalam masa empat tahun di Amerika Syarikat.
Mungkin pelanggan sedia ada sudah berusia, sudah berhenti menunggang Harley-Davidson atau sememangnya mahu berhenti membeli sebuah Harley-Davidson baharu...
Sumber: Reuters