Di Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau, seorang wanita, berusia 23 tahun telah mengalami kecederaan di kepala dan mulut selepas kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) yang dinaikinya terjatuh dari tebing setinggi tiga meter ke kawasan berbatu di kawasan air terjun petang tadi (Sabtu).
Manakala pemandu kenderaan itu iaitu rakan wanitanya berusia 26 tahun, tidak mengalami kecederaan.
Menurut laporan Astro Awani, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 2.27 petang.
JBPM turut mengeluarkan kenyataan bahawa kemalangan yang melibatkan sebuah ATV telah terjatuh dari tebing kawasan tepi air terjun pada ketinggian tiga meter ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan aktiviti rekreasi bersama rakan-rakan.
“Pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan ATV terjatuh dari tebing dan menghempap batu,” katanya dalam kenyataan.
Rawatan awal telah diberikan kepada mangsa oleh anggota yang tiba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau.
Mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital.