HKS suntik teknologi baharu pada enjin RB26 - mampu ekstrak 600 hp, penggunaan bahan api 5 liter/100 km!

oleh Mohamad Hanif|
Enjin enam silinder sebaris terkenal serata dunia dari Nissan, RB26DETT dilahirkan sama tahun dengan penulis (1989), dan ia merupakan antara enjin yang mempunyai reputasi yang tinggi oleh para peminat enjin inline-6.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Ia mula digunakan pada model berprestasi tinggi Nissan Skyline GT-R R32 dengan angka output 276 kuasa kuda dan daya kilas 353 Nm, dan pada akhir produksi enjin ini telah dipertingkatkan kepada 316 hp dan 392 Nm.

Bersempena dengan acara Tokyo Auto Salon 2021, rumah penala terkemuka dunia HKS telah membawakan solusi baharu bagi enjin enam silinder 90-an ini untuk terus kekal relevan di era moden.

Teknologi yang dinamapak sebagai konsep Advanced Heritage ini bukan sahaja berupaya untuk mengekstrak 600 kuasa kuda yang sihat, akan tetapi masih lagi mampu mengekalkan penggunaan bahan api sekitar 5 liter untuk setiap 100 km, dan dalam masa yang sama memenuhi piawaian emisi terkini Jepun!

 


Menurut HKS lagi, enjin Advanced Heritage ini dibuat berdasarkan permintaan pelanggan yang masih lagi mahukan pemanduan sebuah R32 namun dengan teknologi enjin yang lebih moden.

Antara ciri yang diterangkan oleh Nakajima (HKS Advance R&D) termasuklah:

 


1. Pre-chamber combustion

Teknologi yang biasa digunakan didalam F1 kini boleh didapati pada enjin RB26, di mana ia menampilkan proses pra-pembakaran campuran bahan api dan udara yang tepu sebelum memasuki kebuk pembakaran yang sebenar.

Proses ini membenarkan proses pembakaran yang lebih cepat dan bersih, meningkatkan nisbah mampatan bagi menyalurkan lebih banyak kuasa, serta mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi.

2. Vertical Turbocharger

Secara umumnya, unit pengecas turbo perlu diposisikan secara melintang, namun ia memberikan kesan kepada susunan kemasukan dan sistem perpaipan ekzos, serta meningkatkan kadar rintangan aliran udara.

Namun, ciri Vertical Turbocharger ini dikatakan mampu untuk mengoptimasikan aliran udara sekaligus mengurangkan kadar kehilangan tekanan.

3. Dual-Plenum Intake

Menurut penjelasan daripada Nakajima, penggunaan dual-plenum intake ini mampu membenarkan aliran udara yang lebih pantas serta mengurangkan suhu udara pada ruang kemasukan.

4. Dual-Injection

Apabila enjin memiliki output kuasa yang agak tinggi, terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti penyuntik bahan api akan tetapi ia turut menyumbang kepada kesukaran untuk mencapai kadar atomisasi bahan api yang optimum.

Dengan penggunaan sistem penyuntik bahan api berkembar itu tadi, ia mampu mengekalkan kadar atomisasi bahan api yang optimum, dan dalam masa yang sama meningkatkan kadar respons enjin dan mengurangkan kadar emisi ekzos.

 


Setakat ini, HKS tidak mendedahkan secara rasmi kos yang perlu dibayar untuk mendapatkan sistem Advanced Heritage ini.

Apa yang pasti, para pemilik Nissan Skyline R32 kini boleh menarik nafas lega kerana terdapat pihak yang prihatin boleh membantu mereka melakukan proses restorasi jentera lama itu dengan lebih menyeluruh.

Baca: NISMO lancarkan program restorasi penuh Nissan Skyline GT-R R32

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Antara yang sah dan bakal menarik tumpuan peminat JDM di Malaysia pada Tokyo Auto Salon Kuala…
Berita Global
Tidak pun lama selepas GR 86 dilancarkan di peringkat global, penala terkenal HKS mula…
Berita Global
Namun, ia tidak pernah menghalang beberapa syarikat penala untuk terus meneroka potensi sebenar hot…