Apabila melihat model Brio generasi kedua ini fikiran terus terlintas akan Civic generasi pertama. Saiz yang kompak, bentuk badan hatchback dan teknologi ringkas.
Jika Civic adalah model global yang dipasarkan di banyak negara, Brio hanya ditawarkan di negara terpilih sahaja.
Pada 2 Ogos lalu Honda Prospect Motor (HPM) telah melancarkan Honda Brio generasi kedua sempena Pameran Kenderaan Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2018.
Menariknya Indonesia adalah pasaran pertama di dunia yang ditawarkan dengan model ini. Selain Indonesia, Brio generasi pertama dipasarkan di Thailand, India, Afrika Selatan dan Filipina.
Brio adalah kereta paling kecil dalam barisan model-model Honda dan jika di negara kita ia berada satu segmen dengan Perodua Axia, Kia Picanto dan Hyundai i10.
Berikut ialah ringkasan menarik tentang Honda Brio generasi pertama dan kedua:
- Model generasi pertama dilancarkan di Indonesia pada 2012
- Pada 2013, Honda memperkenalkan Brio Satya yang dikelaskan dalam kategori Kenderaan Hijau Kos Rendah (LCGC)
- Pada 2016, Honda melancarkan Brio rekaan dan ciri-ciri baharu
- Selain varian standard, Honda turut menawarkan Brio RS yang merupakan versi paling sporti
- Sehingga Julai 2018 sebanyak 237,272 Brio terjual di Indonesia
- Brio turut menerima 32 anugerah dari pelbagai media Indonesia
- Brio generasi kedua dikuasakan oleh enjin 1.2 liter i-VTEC
- Output kuasa enjin ini ialah 90 ps pada 4,800 rpm dan tork 110 Nm pada 6,000 rpm
- Model baharu ini dibangunkan melalui pemerhatian terhadap input dan keperluan pelanggan Indonesia
- Transmisi pilihan ialah lima kelajuan manual dan CVT
- Model paling asas dilengkapi dengan ABS dan EBD serta dua beg udara
Jika ada yang tertarik dan tertanya sama ada Honda Malaysia bakal menawarkan model ini di pasaran tempatan jawapannya ialah tiada kepastian.
Pelanggan tempatan agak cerewet tentang spesifikasi dan kelengkapan terutama sekali jika menyebut tentang jenama Honda. Model ini pula adalah berada dalam segmen ekonomi ala Proton Saga dan Perodua Axia.
Tentang harga pula, tiada maklumat rasmi mengenainya dan sebagai ukuran harga Brio generasi pertama bermula dari RM 37,318 sehingga RM 50,697.
Penulis: Muhammad Md Tajudin