Ditawarkan dalam versi tunggal RS, Honda Civic RS didatangkan dengan nadi 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan 178 PS dan 240 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT dan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Econ dan Sport.
Dari segi luaran, ia membawakan kemasan badan yang sporti, layangan warna hitam pada cermin sisi, pemegang pintu, rim aloi black matte bersaiz 17 inci, unit lampu LED dengan lampu nyalaan siang, serta spoiler boot lid.
Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti tempat duduk boleh laras berkuasa elektrik, sistem pencahayaan ambien merah, upholsteri kulit-suede, paddle shifter, sistem kemasukan tanpa kunci dan juga Honda Smart Key Card.
Unit infotainmen pula bersaiz sembilan inci Display Audio yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay, sementara skrin di depan pemandu pula bersaiz 10.2 inci.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, serta kelengkapan Honda Sensing yang merangkumi sistem brek mitigasi pelanggaran, bantuan pengekalan laluan, sistem mitigasi keluar jalan, kawalan jelajah adaptif, sistem notifikasi pergerakan kenderaan hadapan, Honda LaneWatch dan bantuan suluhan tinggi.
Honda Civic RS dijual pada harga 567 juta rupiah (RM165k) dan boleh didapati dalam warna Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl, dan Platinum White Pearl.