Kedua-dua model tersebut bakal dipamerkan buat kali pertama di acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) 2023 di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada 4-5 November ini.
Hyundai Tucson 2024
Unit import sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan itu bakal ditawarkan dalam tiga varian, dan konfigurasi lima tempat duduk.
Versi asas 2.0 Lite datang dengan enjin Smartstream MPI 2.0 liter menghasilkan 156 PS dan 192 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan.
Sementara varian 1.6T Plus dan 1.6T Max menampilkan enjin 1.6 TGDi dengan hamburan kuasa 180 PS dan 265 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.
Secara standard, Hyundai Tucson datang dengan ciri seperti tujuh beg udara, brek parkir elektronik, Amaran Pelanggaran Titik Buta dan Amaran Keluar Selamat.
Varian tertinggi 1.6T Max pula mendapat tempat duduk larasan lapan tahap dengan fungsi pemanasan dan pengudaraan untuk penumpang hadapan, skrin kluster digital 10.25 inci, pintu belakang berkuasa, penyeka kaca automatik, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, dan kelengkapan keselamatan penuh Hyundai SmartSense.
Lima warna ditawarkan iaitu Amazon Gray Metallic, Phantom Black Pearl, Creamy White Pearl, Crimson Red Pearl dan Silky Bronze Metallic.
Hyundai Santa Fe 2024 facelift
Mahukan SUV yang lebih besar, anda boleh dapatkan Hyundai Santa Fe facelift generasi keempat, kini dipasang sepenuhnya di kilang Inokom Kulim.
SUV tujuh tempat duduk itu juga akan ditawarkan dalam tiga varian, iaitu Hybrid Plus, Hybrid Max dan Diesel Max.
Versi hibrid dikuasakan oleh enjin petrol 1.6 liter TGDi berkuasa 180 PS dan 265 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 59 hp (44.2 kW), dengan kuasa keseluruhan 230 PS dan 350 Nm yang memacu roda depan menerusi transmisi automatik 6 kelajuan.
Sementara versi Diesel Max pula datang dengan enjin 2.2 liter CRDi menghasilkan 202 PS dan 440 Nm yang memacu semua roda menerusi transmisi DCT lapan nisbah kelajuan.
Kesemua varian datang standard dengan enam beg udara, kelengkapan keselamatan Hyundai SmartSense penuh, skrin tengah bersaiz lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecasan peranti pintar tanpa wayar dan penyeka kaca automatik.
Varian Hybrid Max dan Diesel Max pula mendapat tempat duduk balutan kulit, skrin kluster digital 12.3 inci, pintu tailgate berkuasa, manakala eksklusif untuk Hybrid Max ialah tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan.
Empat warna ditawarkan untuk Santa Fe iaitu Snowflake White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Stormy Sea.