Penampilan luaran juga kini menampilkan kehadiran pelekat samaran, namun tidak sebanyak model spyshot yang telah dikesan sebelum ini, menampakkan gril hadapan yang besar dengan elemen melintang yang menonjol di bahagian tersebut.
Seperti model-model baharu Hyundai, Santa Cruz juga turut membawakan rekaan lampu utama berlapis yang sama didapati pada model Palisade, Santa Fe dan Venue, dan ia diakhiri dengan bukaan berbentuk trapezoid di bahagian bawah bumper.
Dari pandangan sisi, boleh dilihat garisan bahu tingkap yang direka menaik supaya tidak menampakkan rekaan kabin yang terlalu kekotakan.
Sementara dimensi ruang belakang pula dilihat lebih kecil namun bersesuaian dengan trak pikap yang dibangunkan daripada platform unibodi dan bukannya platform tipikal trak pikap yang ada di pasaran.
Terdapat ura-ura yang mendakwa Hyundai Santa Cruz bakal membawakan nadi bentangan V6 3.8 liter yang diperoleh daripada Hyundai Palisade yang menghasilkan 291 kuasa kuda dan 355 Nm daya kilas yang memacu sistem pacuan semua roda.
Ini menjadikan Hyundai Santa Cruz setanding dengan sebuah lagi model trak pikap unibodi, iaitu Honda Ridgeline.
Pengenalan rasmi model trak pikap Hyundai Santa Cruz ini dijangka berlangsung sebelum akhir tahun 2020.
Sumber: Motor1