Inisiatif kumpul minyak masak terpakai hasilkan biobahan api penerbangan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Bernama
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Petronas melaksanakan inisiatif mengumpul minyak masak terpakai di stesen Petronas untuk dijadikan satu sumber bahan mentah utama bagi menghasilkan biobahan api penerbangan lestari.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang melancarkan inisiatif berkenaan pada Selasa berkata buat permulaan, pusat pengumpulan bagi program pengumpulan minyak masak terpakai itu dilaksanakan di stesen Petronas 1, Presint 9 di Putrajaya, stesen Petronas Subang Bestari dan stesen Petronas Kota Kemuning 1, Shah Alam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Ia kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat, ke stesen-stesen Petronas yang terpilih," kata beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, ketika berucap melancarkan program berkenaan.

Beliau berkata sisa minyak masak terpakai boleh dibawa dan dijual di stesen minyak terlibat dengan setiap penjualan dibuat dengan mata kredit yang dimasukkan menerusi aplikasi SETEL, dan boleh ditebus di mana-mana Stesen Petronas atau Kedai Mesra.

Katanya inisiatif itu merupakan langkah proaktif Petronas sebagai persediaan memenuhi tuntutan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) yang dibangunkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi tujuan mengurangkan jejak karbon dan memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon bagi sektor penerbangan antarabangsa.

"Fasa rintis CORSIA bermula pada 2021, manakala fasa satu bermula pada tahun depan, dengan penyertaan oleh negara-negara anggota adalah secara sukarela termasuk Malaysia," katanya.

Bermula tahun 2027, penggunaan SAF adalah mandatori bagi semua negara anggota ICAO.

Fadillah berkata inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk menyahut aspirasi matlamat kelestarian dan memberi nilai tambah kepada rantaian bekalan industri sawit yang akan memberi impak positif kepada harga minyak sawit.

"Kerajaan komited membangunkan industri berkaitan kelapa sawit dalam usaha menambah baik kehidupan pengusaha dan pekebun kecil serta rakyat di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengumpulan minyak masak terpakai juga mampu menjadi sumber pendapatan sampingan isi rumah.

"Jadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai salah satu langkah bijak dalam menguruskan sisa, yang sebenarnya berupaya diproses semula menjadi produk baharu yang bernilai tinggi dan seterusnya membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah," katanya.

 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
  "Selain itu, pihak MPOB juga mengadakan kerjasama dengan enam universiti tempatan berkenaan…
Berita Domestik
  Menurutnya, kesemua minyak terpakai yang dikumpul diperoleh menerusi pelaksanaan program 1…
Berita Domestik
Ini ialah untuk menjana penggunaan sawit negara itu dan sejak tahun 2020, Malaysia juga menggunakan…