Isu alat ganti - Proton buka pekung

oleh HEZERI SAMSURI|
Isu alat ganti yang melanda Proton suatu ketika dahulu menjadi titik tolak kepada sesuatu yang sebenarnya baik kepada negara, terutama kepada pembangunan vendor-vendor tempatan.

Itulah rumusan yang saya kupaskan selepas pertemuan serampang dua mata bersama pengurusan tertinggi Proton baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sepanjang pengalaman saya di dalam bidang ini, Proton sering beruntung kerana dapat berselindung di sebalik perisai "friendly media", kerana ia hidup di dalam dunia ketika media massa "disyorkan" untuk melindungi agensi-agensi kerajaan.

Namun begitu zaman itu sudah berubah, dan pengguna tempatan juga sudah mempunyai media sosial untuk mengadu domba. Tidak ada lagi syarikat yang terselamat, dan tidak ada lagi ahli politik yang boleh membuat silap mata.

Semuanya kini terpampang di luar sana, boleh dibogelkan bila-bila masa.

 

Pada awalnya, pengguna gembira kerana Proton mampu menggunakan produk-produk terkini Geely.

 

Masa "honeymoon" Proton bersama Geely juga sudah tamat. 

Pada awalnya, rakyat Malaysia cukup gembira kerana Proton akhirnya berjaya menyajikan hidangan produk-produk modern, lengkap dengan skrin-skrin definisi tinggi berwarna-warni dan enjin dengan pengecas turbo pada harga yang lebih rendah dari pesaing.

Sekarang, mereka sudah ada "expectation" yang tinggi untuk Proton dan mereka juga mahukan perkhidmatan selepas jualan yang sama baik dengan pemain-pemain global.

Jadi bila isu alat ganti melanda Proton, pengguna menggunakan media sosial untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

"Memang kami sangat memahami apa yang berlaku, tetapi pada ketika itu, kami tidak ada solusinya lagi," jawab Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

"Kami diam sahajalah. Apa lagi yang mampu kami buat, tak kan kami hendak menipu," sambung anak kelahiran Besut itu lagi.

Sememangnya ini ialah satu era baharu untuk Proton, dan saya memanggil ini sebagai Fasa Ketiga.

Biar saya terangkan fasa-fasa yang telah berlaku dan sedang berlaku.

 

Antara video pandu uji pedas dari Careta.

 

Fasa Pertama

Ini ialah peringkat masa bila Geely mula mengambil alih operasi Proton dan belajar cara operasi syarikat di Malaysia.

Ia juga adalah fasa di mana kita belajar cara pengurusan dan sistem yang digunakan oleh Geely.

Beberapa media, termasuk saya sendiri, menggunakan fasa ini untuk menjadi skeptikal dan "garang" kepada Proton kerana kami mahu Geely dan Proton tahu, mereka tidak boleh mengharap kepada media lagi untuk berlindung.

Fasa Kedua

Ia adalah fasa yang menarik kerana proses pemutihan berlaku.

Proton mula faham siapa yang boleh kekal, dan siapa yang perlu digantikan. Begitu juga dengan Geely, yang baharu memahami bahawa apa yang mereka gunakan di China, tidak boleh dipakai bulat-bulat di sini.

Saya juga menerima banyak ucapan terima kasih kerana ramai yang mula faham kenapa ada media yang begitu agresif pada awalnya terhadap Proton.

Proton mula membina pasukan pengurusan yang lebih kuat, terdiri dari mereka yang veteran di dalam industri, dan yang pernah bekerja dengan gergasi-gergasi automotif global.

Fasa Ketiga

Selepas pasukan pengurusan siap terbina, Proton mula mengkaji segala kelemahan, merancang proses pemulihan dan mempraktikan apa yang dicadangkan.

Ini ialah apa yang telah dilakukan dan fasa ini masih lagi beroperasi sebenarnya. 

 

Ainol Azmil Abu Bakar, Group Technical Procurement Proton

 

Roslan berkata proses-proses ini cukup penting kerana ia bukan hanya membabitkan tenaga dari dalam Proton dan Geely sendiri, tetapi akan membabitkan vendor-vendor mereka.

"Pembinaan vendor-vendor adalah satu proses yang tidak boleh ditolak tepi oleh mana-mana syarikat automotif. Untuk itu, kami ada Ainol," katanya sambil memperkenalkan saya kepada individu yang duduk di sebelahnya.

Ainol Azmil Abu Bakar (gambar di atas) ialah ketua Unit Pemerolehan Teknikal (Group Technical Procurement) untuk Kumpulan Proton, unit yang bertanggung jawab dalam pembelian komponen-komponen kenderaan dan sebagainya.

Berusia 57 tahun, Ainol memulakan kerjaya beliau seawal tahun 1991 dengan kilang Sony di Pulau Pinang sebelum menyertai kumpulan pengasas Modenas di Gurun dalam tahun 1995.

Selepas itu, anak jati Perlis ini dihantar ke Honda Malaysia oleh Kumpulan DRB-HICOM pada tahun 2004 dalam unit pembelian teknikal di mana beliau bertanggung-jawab dalam urusan pemerolehan  komponen-komponen untuk operasi CKD.

Tahun 2012 beliau dibawa berpindah ke kilang DRB-Hicom di Pekan untuk membantu memulakan operasi CKD bagi Volkswagen pula. Kerjaya Ainol terus berkembang lagi bila beliau menjadi Ketua Pegawai Operasi untuk Hicom Die Casting Sdn Bhd dan kemudian ke PHN Industry, sebuah syarikat vendor komponen besi kimpalan terbesar di Malaysia. 

Graduan MRSM Kulim dan UUM ini menyertai Proton secara rasmi dalam tahun 2020 di mana beliau menguruskan unit pemerolehan komponen dan juga bertanggung-jawab dengan urusan berkaitan pembekal-pembekal tempatan dan luar negara.

Di sebalik tugas utamanya, Ainol mula diminta untuk melihat kepada isu alat ganti Proton yang semakin meruncing di dalam tahun 2021, dan beliau perlu bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain di dalam Proton.

Pada ketika itu, Proton dan Geely masih dalam usaha untuk melatih pembekal-pembekal tempatan yang  kurang pengalaman dalam bidang penghasilan komponen teknologi tinggi yang digunakan oleh Geely.

 

Kilang enjin 1.5L TGDi Proton di Tanjung Malim

 

Proses pengakuan

"Geely, seperti yang kami lihat, tidak mempunyai pengalaman yang meluas di dalam usaha untuk melatih vendor-vendor di luar China di dalam ekosistem CKD ataupun alat ganti," ujar beliau.

Ainol menerangkan bahawa penghasilan komponen kenderaan untuk operasi CKD dan komponen bagi stok alat ganti adalah dua cabang yang sangat berbeza.

"Ramai yang ingat bahawa kita boleh ambil komponen dari kilang pemasangan dan dijadikan alat ganti. Ini tidak boleh berlaku kerana operasi kilang tidak sama dengan operasi alat ganti yang terletak di bawah penyeliaan khidmat selepas jualan. Ada berbagai perbezaan dari segi teknikal, penguatkuasaan dan sebagainya.”

Dia bukan macam bila kita perlukan alat ganti A, kita jalan ke kilang pemasangan dan ambil dari situ," terangnya berseloroh.

Dalam operasi CKD, ada perjanjian yang termaktub di dalam kontrak di mana pembekal-pembekal wajib membekalkan komponen dalam masa dan jumlah yang ditetapkan.

"Jika pembekal gagal, mereka akan dikenakan penalti yang berat. Ini penting dalam memastikan operasi sistem JIT (Just In Time) yang dipraktikkan oleh kilang-kilang CKD berjalan lancar.

Penalti itu yang memastikan pembekal-pembekal patuh pada jadual penghantaran komponen," kata Ainol lagi.

 

Kilang enjin 1.5L TGDi Proton di Tanjung Malim

 

"Di dalam urusan pembelian komponen alat ganti pula, perbezaan ketara ialah tidak ada penalti atau jadual penghantaran yang ketat kerana keperluan alat ganti tidak serumit komponen bagi proses CKD," tambahnya.

Proton sendiri sebelum ini sebenarnya tidak begitu popular di kalangan vendor-vendor tempatan kerana pelbagai kelemahan, dan Ainol berkata semua kekusutan ini perlu ditangani jika Proton mahu terus maju ke hadapan.

"Untuk pengilang kenderaan, mereka perlu berjanji untuk membeli sejumlah komponen dari pembekal. Proton, sebelum ini tidak mempunyai rekod yang cemerlang di kalangan pembekal-pembekal.

Contohnya, pada awal pembuatan, Proton berjanji akan membeli sejumlah unit komponen, tetapi jualan yang tidak memberangsangkan sering melihat Proton akhirnya membeli kurang dari jumlah itu," Roslan turut menerangkan apa yang berlaku dahulu.

"Untuk mengelakkan kerugian dan pegangan stok yang tinggi di gudang, pembekal-pembekal secara diam-diam mengurangkan jumlah komponen itu. 

Namun begitu, apabila program transformasi Proton di bawah kumpulan baharu ini bermula dalam tahun 2022, prestasi jualan mula meningkat dengan banyak dan ini menyebabkan pembekal-pembekal terkejut kerana mereka tidak menjangkakan Proton sudah mula mencapai sasaran komponen yang ditempah," sambungnya lagi.

Roslan yang juga seorang veteran di dalam industri automotif menggunakan pengalaman beliau di beberapa syarikat lain untuk menukar "tradisi" pengurusan Proton dengan menggabungkan prinsip yang telah dipelajarinya. 

"Memang ada banyak perkara yang pasukan kami terpaksa rombak balik dan pada masa yang sama, kami juga terpaksa mengambil langkah-langkah berani untuk meningkatkan kebolehan pembekal tempatan supaya dapat menghasilkan komponen hingga ke tahap yang diperlukan.

Saya terpaksa mengaku dan membuka pekung kami. Sebelum ini, memang tidak ada perancangan yang kukuh dari segi pembuatan, pembekalan dan penyimpanan stok alat ganti, baik model yang masih dalam pasaran, apa lagi model-model lama.

Pasukan pengurusan baharu memang terlatih dan sudah berpengalaman bekerja dengan syarikat automatif Jepun, Eropah dan juga tempatan dan kami gunakan pengalaman kami di syarikat-syarikat automotif itu untuk menaik taraf kebolehan Proton," sambung Roslan.

 

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif untuk Proton Edar

 

Apa yang Proton sudah lakukan?

Antara perubahan drastik yang dilakukan oleh mereka ialah mengadakan mesyuarat peringkat pengurusan tertinggi setiap hari, dihadiri oleh Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Roslan sendiri serta lebih dari 60 ahli pengurusan lain.

"Bermula Jun 2022, setiap pagi kami akan bermesyuarat secara atas talian dan membincangkan segala masalah di semua bahagian dan semua bahagian boleh berhubung terus dengan pengurusan tertinggi.

Selain dari itu, kami ambil lagi pengurus-pengurus bahagian baharu yang berpengalaman dari syarikat-syarikat automotif lain. 

Boleh dikatakan gandingan pengalaman dari sistem lain dengan juga cara operasi dari  Geely memang berkesan dan  memberi manfaat dan itulah antara sebab mengapa kami gabungkan semua," kata Roslan.

Jelas usaha keras dari Roslan, Ainol dan pasukan mereka telah menunjukkan hasil.

 

Proton Saga MC2

 

Apa hasilnya? 

Dalam tahun 2018, iaitu tahun pertama operasi Proton bersama Geely, syarikat itu cuma membelanjakan sebanyak RM1.3 billion sahaja untuk pembelian komponen-komponen tempatan.

Sekarang ini, 69 peratus dari 258 pembekal-pembekal Proton adalah dari syarikat tempatan, dan ia membabitkan pembelian sebanyak RM3.8 billion setiap tahun. 

Ini bukan sahaja dari pelaburan tempatan tetapi daripada usaha menggabungkan syarikat tempatan dengan pembekal Geely untuk mempercepatkan pemindahan teknologi ke ekosistem pembekal di Malaysia. 

Proton juga sudah menyelesaikan 80 peratus aduan-aduan vendor berkaitan isu kontrak model-model lama yang masih belum dilunaskan. Bakinya dalam proses untuk diselesaikan.

Isu gaji mimimum dan harga bahan mentah yang meningkat yang dihadapi oleh vendor-vendor tempatan juga diambil kira dan akan diselesaikan. 

"Pintu perbincangan tidak pernah tertutup untuk vendor-vendor yang mempunyai masalah kerana pembangunan vendor tempatan adalah usaha dua hala - vendor dan Proton perlu sama-sama berubah untuk sama-sama mencapai objektif masing-masing," sambung Roslan.

"Dalam tahun 2022, cuma 34 peratus permintaan alat ganti yang berjaya dilunaskan tetapi untuk tahun 2023, angka itu meningkat kepada 80 peratus. Masih ada isu "back-orders" tetapi ia sudah dikurangkan dengan banyak," Roslan mengaku, 

"Perubahan drastik dalam tempoh 12 bulan itu cuma mampu dicapai hasil dari muafakat antara pengurusan dan pekerja-pekerja Proton, Geely dan pembekal-pembekal kami.

Kami tahu jika kami tidak berubah, segalanya akan terkubur. Rakan kami dari Geely juga sedar cara beroperasi di Proton dan di Malaysia amat berbeza dengan pengalaman mereka di China. Ini ialah sebuah proses yang berterusan," sambung Roslan lagi.

Beliau mengakui ada vendor yang tidak mahu lagi bekerjasama dengan Proton, dan mereka menerima hakikat itu tetapi dalam masa yang sama, Proton juga menerima tawaran dari vendor-vendor lain yang yakin dengan usaha mereka dan mahu meningkatkan lagi kerjasama antara Proton dan syarikat mereka.

 

Proton X70, antara SUV paling laris di pasaran.

 

Berita gembira untuk pengguna

Masa depan pengguna Proton nampaknya lebih terjamin sekarang kerana Proton menjamin akan menghasilkan alat ganti untuk sesebuah model selagi ia masih dijual atau untuk tempoh 10 tahun, seperti apa yang dipraktikan oleh syarikat-syarikat kenderaan yang lain.

Selepas tempoh itu, mereka akan mengenal-pasti pembekal yang boleh menghasilkan dan membekalkan alat ganti tersebut.

Ini akan memberikan keyakinan kepada pasaran dan boleh menjadikan nilai Proton dalan pasaran kenderaan terpakai menjadi lebih stabil.

Secara peribadi, ini ialah satu kejayaan yang cukup besar dan akan meletakkan Proton di kedudukan yang lebih baik dari jenama-jenama baharu dari China yang rata-rata tidak mahu bercerita tentang stok alat ganti mereka selepas tempoh lima tahun atau selepas model itu ditamatkan.

 

Proton S70, mampu beri saingan sengit kepada jenama luar.

 

Kesimpulannya

Seperti negara kita, Proton sedang mengalami transformasi yang drastik demi untuk kesinambungan mereka sendiri.

Malaysia tidak lagi mahu mengamalkan konsep "perlindungan pasaran" yang terlalu ketara demi untuk menyelamatkan jenama-jenama nasional kerana ia hanya akan makan tuan.

Ini ialah apa yang berlaku kepada Proton selama ini bila ia menjadi semakin lemah dan kurang kompetitif untuk melawan pesaing-pesaingnya.

Perkembangan ekosistem pembekal komponen dan alat ganti juga bukanlah satu isu yang mudah dan mahu atau tidak, memang syarikat automotif dari Jepun yang sudah terbukti berjaya mencari formula dan keseimbangan yang terbaik.

Ramai pemimpin negara yang mendabik dada bercerita tentang pemindahan teknologi yang mereka garap akan berlaku dari "usaha" mereka membawa masuk pelabur asing.

Realiti sebenar ialah tidak ada sesiapa yang akan memberikan teknologi-teknologi terkini dengan sewenang-wenangnya.

Pemindahan yang sebenarnya berlaku ialah pemindahan "budaya dan proses", dan dalam isu Proton, pengurusan sekarang adalah terdiri dari mereka yang sudah terlatih sejak puluhan tahun dengan proses pengurusan dan budaya kerja dari Jepun, Korea dan Eropah.

Itulah "teknologi" yang diterima di Proton dan nampaknya ia sudah membuahkan hasil.

 

 

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke…
Berita Domestik
"Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah volum industri (TIV) bagi pasaran automotif…
Berita Domestik
PROTON telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan…