Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Taha, berkata kegiatan itu dikesan di sebuah gudang berlesen Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).
Modus operandi syarikat itu adalah menyimpan dan menyembunyikan kereta mewah di kawasan parkir rumah ibadat sebagai stor simpanan dengan sewaan RM5,000 sebulan.
“Kereta itu diparkir di dalam premis rumah ibadat yang menjadi pusat pameran operasi jualan syarikat terbabit bagi mengelirukan pihak berkuasa.
“Pemeriksaan mendapati semua kereta mewah itu belum dibayar cukai dan melanggar Seksyen 75 Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sharifah Halimah berkata, syarikat terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen yang diperlukan untuk menentusahkan kenderaan berkenaan sudah dijelaskan cukainya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 75 Akta Kastam 1967 kerana memindah barangan berduti daripada kawalan kastam tanpa kebenaran dan kelulusan.
Sumber: Berita Harian