CX-60 adalah SUV pertama Mazda bernadikan kuasa plug-in hybrid, pakej yang dibawakan ialah enjin petrol Skyactiv-G 2.5 liter, motor elektrik 100 kW dan bateri 17.8 kWh.
Di United Kingdom, ada tiga varian CX-60 iaitu Exclusive-Line, Homura dan Takumi yang merupakan pilihan paling premium.
Apa yang ingin dikongsi kali ini bukan tentang reka bentuk luaran atau teknologi tetapi dalaman CX-60 yang sarat dengan falsafah Jepun.
Kaichou
Idea di sebalik Kaichou ialah elemen gangguan yang mencampurkan tekstur dan bahan berbeza.
Untuk varian Exclusive-Line and Homura, Mazda menggunakan campuran kulit hitam, kemasan papan pemuka gelap dan riasan krom.
CX-60 Takumi mengangkat prinsip Kaichou lebih tinggi dengan menggabungkan pelbagai jenis bahan dan tekstur seperti kulit nappa, kayu mapel, krom dan fabrik berkualiti tinggi.
Idea di sebalik campuran sebegitu adalah perkara biasa namun diberi perhatian secara mendalam oleh Mazda.
Kakenui dan Musubu
Satu lagi contoh pengaruh seni Jepun di dalam kabin CX-60 ialah Kakenui.
CX-60 Takumi menggunakan Kakenui atau teknik jahitan Jepun iaitu jahitan tergantung yang mempunyai lipatan (seam) dengan ruang di antara fabrik dan bahan di bawahnya.
Gaya jahitan itu boleh dilihat pada fabrik papan pemuka dan satu ciri menonjol di dalam kabin yang juga dipengaruhi oleh Musubu iaitu seni cantuman tradisional Jepun.
Hacho
Sesetengah bahagian pintu dan terowong tengah transmisi CX-60 Takumi menggunakan kayu mapel dan kemasan pada kayu itu adalah lambang kepada estetika Jepun iaitu Hacho.
Ianya merujuk kepada keseimbangan yang tidak simetri (asymmetrical) atau ketidaksamaan yang disengajakan.
Bahagian itu dipadan bersama kemasan besi sebenar dan gabungan kayu mapel dengan kulit nappa cerah, corak pelbagai pada fabrik dan jahitan Kakenui menyerlahkan aura premium dengan warisan Jepun yang kuat.
Bagaimana Mazda menzahirkan semula seni dan warisan Jepun ke dalam CX-60 adalah suatu yang menggagumkan.
Bukan sekadar kabin biasa. Ianya seperti pelbagai unsur yang berkecamuk dan membentuk satu estetika seni di dalam sebuah kereta. Terpana.
Papan pemuka CX-60 tidak lagi kosong atau terlalu ringkas seperti model Mazda sebelum ini, ada unsur sibuk dan sekali lagi boleh membuatkan seseorang jatuh cinta.
Penulis: Muhammad Md Tajudin