Ia memiliki sifat yang ringan dan kuat dalam masa yang sama, namun harus diingat gentian karbon merupakan antara barang yang masih lagi mahal harganya.
Justeru itu, bahan tersebut tidak digunakan secara meluas oleh kebanyakan pengeluar.
Namun dalam satu laporan daripada Motor1, Mazda diberitakan sedang mengkaji penggunaan bahan ringan tersebut untuk produk akan datang, lebih-lebih lagi kenderaan berelektrik.
Untuk EV, berat merupakan musuh utama, dan Mazda mahu menangani penambahan berat yang disebabkan oleh komponen rangkaian kuasa dengan mengurangkannya daripada bahagian kedua terberat dalam kereta - iaitu badan dan casis.
Berdasarkan imej paten, Mazda tidaklah berhasrat untuk membangunkan casis gentian karbon penuh, sebaliknya bahan ringan tersebut akan digunakan pada komponen spesifik, termasuklah tiang bumbung, struktur remuk hadapan, panel rocker serta rel kerangka.
Imej keratan rentas untuk setiap seksyen tersebut menunjukkan struktur binaan yang berbeza, bergantung kepada komponen yang dibina.
Untuk itu, Mazda akan menjalankan kerjasama dengan pengeluar Jepun lain, termasuklah Nippon Steel Chemical & Metrial Co. Ltd untuk membangunkan struktur gentian karbon tersebut.
Imej dalam paten yang didaftarkan itu memaparkan struktur badan kenderaan berupa sebuah sedan empat pintu.
Namun, pendekatan terbaharu yang diunjurkan oleh Mazda ini turut berpotensi untuk diaplikasikan kepada model kenderaan lain, termasuklah SUV dan mungkin sekali kereta sports.
Sumber: Motor1