KAMPUNG KU: LAGENDA WIRA C99 TIANG GOL!

oleh Mohamad Hanif|
Proton Wira merupakan salah satu nama yang sudah tidak asing bagi rakyat Malaysia, dan ia merupakan generasi pertama yang memulakan keluarga sedan yang lebih kita kenali dengan nama Persona pada ketika ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun mungkin tidak ramai yang tahu, suatu ketika bila mana Proton aktif di dalam sukan rali, pengeluar automotif itu pernah memperkenalkan sebuah model Wira edisi terhad yang dihasilkan sebanyak 2,500 unit sahaja, berdasarkan peraturan homologasi pada ketika itu.

Daripada 2,500 unit yang dihasilkan, 2,450 unit merupakan versi yang dijual kepada umum dengan  layangan warna Majorca Black, manakala selebihnya merupakan Proton Wira 1.8 RS yang dibuat khas untuk perlumbaan rali dan dijual kepada pasukan persendirian yang mengambil bahagian di dalam sukan tersebut.

Salah satu daripada Proton Wira 1.8 EXi DOHC Limited merupakan projek kesembilan Dream Street Restoration (DSR) di mana projek ini lebih mesra digelar sebagai Kampung Ku memandangkan kedua-dua pemilik baharu Wira ini dan pemilik DSR, Suriya Sankaran yang turut berasal dari utara Malaysia.
 

C99


Sebagai makluman, Dream Street Restoration (DSR) sebelum ini pernah popular dengan restorasi Proton Satria GTi dan juga Proton Satria R3.

Berdasarkan perbualan ringkas dengan pemilik DSR, Suriya Sankaran menjelaskan model Wira C99 "Tiang Gol" ini merupakan unit yang kesembilan yang telah menerima restorasi lengkap berdasarkan angka siri DSR-009-C99 yang boleh dilihat pada ruang enjin kereta ini.
 

C99


Unit yang dihasilkan pada tahun 1996 ini sememangnya dilihat seperti baharu sahaja keluar kilang, lihat sahaja pada kekemasan hasil kerja pada bahagian luar, lengkap dengan segala aksesori asal seperti rim AAC 14 inci, tip ekzos berkembar, 'lintah' pada bampar hadapan dan belakang, serta tidak dilupakan komponen spoiler Tiang Gol itu sendiri!

Menurut Suriya lagi, pemilik Wira C99 ini sememangnya mahukan sebuah kereta dengan kondisi yang asal, malah cat juga mahu dikekalkan dengan warna asal Majorca Black.
 

C99


Bermakna, pemilik memang mahukan kondisi yang sama seperti kereta ini mula-mula keluar dari bilik pameran, tanpa sebarang aksesori yang merapu-rapu sehingga mampu menghilangkan nilai asal Wira 1.8 Limited ini.

Malah, kemasan ruang kabin seperti upholsteri tempat duduk, balutan kulit pada roda stereng, serta trim pintu masih lagi merupakan unit asal, namun telah dibersihkan semula dengan teliti oleh pihak DSR.

Lihat betapa kemas dan cantiknya ruang kabin Wira C99 ini.
 

C99


Namun atas faktor usia dan kesukaran untuk mendapatkan sumber, terdapat beberapa bahagian terpaksa menggunakan komponen baharu, seperti contoh tombol gear asal Momo digantikan dengan tombol gear baharu DSR, diikuti dengan set alas kaki dan juga pedal kaki juga daripada jenama DSR.

Daripada aspek kosmetik, kita beralih pula kepada nadi utama yang menggerakkan kereta ini - enjin 1.8 liter DOHC 4G93P.
 

C99


Dalam keadaan standard kilang (tahun 1996), enjin ini berupaya menghasilkan kuasa setinggi 138 kuasa kuda, namun disebabkan faktor peredaran zaman (dah 25 tahun berlalu!), jantung Mitsubishi tersebut perlu dibina semula supaya pemilik baharu dapat merasai 'kehebatan' sebenar enjin ini.

Menurut Suriya, sama seperti model-model yang telah direstorasi oleh DSR, unit enjin 4G93P ini turut menerima khidmat proses blueprint oleh SS Motorsport Garage, di mana enjin tersebut bukan sahaja menjalani proses rombak rawat yang biasa dibuat, akan tetapi ia telah dibina kembali menggunakan spesifikasi serta had toleransi asal yang ditetapkan oleh jurutera enjin.

Apa kelebihannya?
 

C99


Tanpa menggunakan sebarang komponen aftermarket atau barangan berprestasi tinggi, enjin ini mampu menghasilkan kuasa serta daya respon yang jauh lebih baik berbanding enjin yang telah dibina mengikut spesifikasi produksi massa.

Menurut Suriya, jika enjin asal mampu menghasilkan 138 hp, enjin yang telah menjalani proses blueprint ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 150 hp!

Harus kami ingatkan sekali lagi - tanpa sebarang pemasangan komponen aftermarket.

Bukan sahaja enjin, malah unit transmisi manual lima nisbah kelajuan serta komponen bantuan seperti  motor penghidup, alternator, unit stereng kuasa serta unit pendingin hawa turut menjalani proses blueprint yang serupa untuk memastikan ia mampu memberikan keselesaan kepada pemilik baharunya nanti.
 

C99


Sistem gantungan asal Wira ini turut diberikan tumpuan, di mana pihak DSR telah meminta bantuan daripada pakar suspensi terkenal, Fawster untuk menurunkan magis mereka bagi menjadikan pengendalian Wira ini lebih segar - senang cerita, sama macam keluar kilang lah!

Berdasarkan pandu uji ringkas yang dilakukan oleh penulis beberapa hari yang lalu mendapati respon kuasa yang dihasilkan oleh Wira C99 DSR ini tidak putus-putus, malah di atas jalan raya dengan selambanya penulis boleh memotong kereta di hadapan tanpa perlu melakukan penukaran gear yang lebih rendah.
 

C99


Respon stereng juga cukup mengujakan, dan jujur penulis cakap, ia bukanlah respon stereng tipikal yang anda harapkan setelah kereta terbiar bertahun-tahun tanpa sebarang usaha untuk menambahbaik aspek berkenaan.

Dari tempat duduk pemandu, tiada sebarang bunyi-bunyi yang aneh, berdecit-decit, atau gegaran yang biasa didengari ketika memandu kereta yang sudah berusia seperti Wira C99 ini, dan ini sekaligus membuktikan kualiti kerja restorasi yang dilakukan oleh DSR memang bukan calang-calang!

 

C99


Satu pujian yang melangit harus diberikan kepada pihak DSR serta pihak-pihak yang terlibat seperti Sterling Automotive, SS Motorsports Garage, Fawster Motorsports, Motorsport Playground dan Next Level Auto Spa kerana berjaya melengkapkan proses restorasi salah satu daripada 2,450 unit Wira C99 Limited Edition ini.

Untuk mendapatkan khidmat dari Dream Street Restoration (DSR), anda boleh merujuk maklumat yang tertera:

DSR Production House Sdn Bhd
No.1, Level 1,
Jalan SS 13/3A
47500 Subang Jaya
Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Mobile : +6012 312 9567

Berikut merupakan galeri penuh Wira 1.8 EXi DOHC Limited Edition 1996.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan dijalankan mendapati kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berlaku ketika anggota…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berkata siasatan awal mendapati…
Berita Domestik
"Semasa tangkapan dibuat, pemandu Proton Wira itu tidak mengalami kecederaan selepas terlibat…