Dimulakan dengan Ninja ZX-10R, antara perubahan yang dilakukan termasuklah pemasangan injap yang diaktifkan secara elektronik, nisbah gear baharu, sistem penyejuk pelincir, serta sistem ekzos yang kini mematuhi piawaian Euro 5.
Hasilnya, enjin 998 cc empat silinder sebaris itu mampu menjana kuasa sehingga 200 hp dan 115 Nm daya kilas.
Geometri casis asal ZX-10R ini turut diberikan penumpuan di mana ia kini mampu menawarkan pengendalian dan prestasi meratah selekoh yang lebih baik, manakala penggunaan lengan ayun yang lebih panjang dan offset fork yang lebih besar membenarkan jentera ini mencapai kestabilan yang lebih ketika perubahan arah tunggangan dibuat.
Sistem suspensi ZX-10R ini pula menerima sentuhan daripada KRT, terdiri daripada Showa Balance Free Fork, dan Showa Balance Free Rear Cushion (BFRC) - kedua-duanya memiliki keupayaan boleh laras sepenuhnya.
Selain daripada kemaskini mekanikal, Ninja ZX-10R 2021 ini turut menerima beberapa bantuan elektronik seperti ABS, launch control, engine braking system, kawalan cengkaman, cruise control, dan sehingga tujuh mod tunggangan yang boleh dipilih.
Segala informasi penting dipaparkan menerusi skrin TFT bersaiz 4.3 inci yang turut menyokong sambungan Bluetooth dan aplikasi Rideology.
Tidak dilupakan, perubahan dari segi penampilan luaran di mana Kawasaki ZX-10R 2021 ini menerima reraup hadapan serba baharu, sistem pencahayaan LED, windscreen yang lebih tinggi, serta posisi footpeg yang telah ditambahbaik.
Selain daripada Kawasaki ZX-10R, Kawasaki turut mendatangkan sebuah lagi model superbike iaitu Kawasaki Ninja ZX-10RR, membawakan penampilan yang hampir serupa dengan kembarnya.
Namun, perbezaan yang ketara adalah penggunaan komponen spesifikasi perlumbaan seperti camshaft, kemasukan udara, spring injap ekzos, rod penyambung titanium, dan omboh.
Disebabkan regulasi Euro5, angka output yang 'mampu' dihasilkan adalah sekitar 201 hp dan 116 Nm.
Tidak cukup dengan itu, Kawasaki ZX-10RR 2021 turut mendapat rim forged Marchesini, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP, dan skema warna tunggal Lime Green.
Harga jualan pula bermula dari $28,999 untuk Kawasaki ZX-10R dan $40,999 (RM) untuk model Kawasaki ZX-10RR 2021. Harus diingat, model Kawasaki ZX-10RR 2021 hanya dihasilkan dalam 500 unit terhad, sebagai memenuhi keperluan homologasi WSBK.