Memetik laporan akhbar New Straits Times, pelaksanaan tersebut dijangka memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi Johor amnya.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (gambar) berkata, keputusan kerajaan untuk menyemak semula caj tol dan levi di Plaza Tol Tuas mulai 13 Februari itu bukan sahaja menarik lebih ramai pelawat Singapura ke Johor Bahru bahkan dari negara jiran lain yang sering menggunakan Kota Singa tersebut sebagai transit pintu masuk ke destinasi Asia lain termasuk Malaysia.
"Ini merupakan langkah positif bagi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri kerana ia akan merangsang lebih banyak aktiviti pelancongan di Malaysia.
"Lebih banyak pelancong akan menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan kerana tidak memerlukan bajet yang besar," katanya.
Tambah Siew Kiong, langkah berkenaan bersesuaian dengan levi perdagangan yang turut menyumbang kepada industri perniagaan Johor kerana lebih banyak pelabur berminat untuk menubuhkan perniagaan mereka di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, orang ramai percaya bahawa langkah itu akan sangat membantu pemandu di kedua-dua belah Tambak.
Seorang jurutera, Nanthakunar K. Nallavan, 28, yang bekerja di Singapura memberitahu usaha berterusan kerajaan untuk meredakan kesesakan lalu lintas di Causeway patut dipuji selain berharap caj permit masuk kenderaan juga dapat dikurangkan pada masa hadapan.