Kerajaan mahu kenaikan harga RON95 tidak begitu mendadak

oleh Mohamad Hanif|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan harga petrol RON95 bagi pengguna yang tidak layak mendapat subsidi bersasar, tidak meningkat dengan margin terlalu besar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata walaupun harga bahan api itu diapungkan mengikut harga pasaran, peningkatan dengan margin terlalu besar akan memberi kesan langsung kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) dan peningkatan inflasi.

“Katakanlah pada hari pertama pelaksanaan nanti, perbezaan harganya 30 sen. Itu kita tidak mahu berlaku.

“Walaupun harus berlaku kenaikan 30 sen, ia harus dilakukan secara berdikit-dikit dalam satu tempoh tertentu contohnya antara enam ke lapan bulan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP, di sini hari ini.
 

Beliau berkata, kementerian juga mendapatkan panduan daripada Jabatan Statistik yang membuat simulasi impak kenaikan harga bahan api pada kadar tertentu terhadap kenaikan IHP dalam menetapkan harga bahan api.

Ditanya sama ada penetapan harga minyak akan dibuat secara mingguan atau bulanan seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, Saifuddin berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

“Sebelum ini diputuskan berdasarkan mingguan. Kami menerima banyak maklum balas daripada pengedar dan syarikat minyak serta orang ramai.

“Oleh itu, kita perlu mengkaji secara menyeluruh untuk menentukan format yang terbaik," katanya.

 


Selain itu, katanya, hari ini adalah hari terakhir tender terbuka bagi membangunkan sistem subsidi minyak bersasar dan Kementerian Kewangan dijangka mengumumkan syarikat yang terpilih dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan ada 156 syarikat yang turut serta. Jadi, Kementerian Kewangan akan putuskan syarikat mana yang akan dapat kontrak itu dan KPDNHEP akan bekerjasama dengan syarikat itu,” katanya.

Sistem subsidi minyak secara bersasar bagi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2019.

Kerajaan dalam Belanjawan 2019, November lalu mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter yang terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc manakala 40 liter sebulan bagi pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi pemberian subsidi secara bersasar itu dan akan memanfaatkan seramai empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal. - BERITA HARIAN.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penganalisis PublicInvest Research, Sabrina Edora, berkata harga sebenar RON95 dijangka mencecah…
Berita Global
  Menteri Tenaga, Arifin Tasrif berkata, harga petrol bersubsidi dinaikkan kepada 10,000 rupiah (…
Berita Global
Menurut laporan daripada WISN 12 News, pasukan undang-undang Woodman's menyatakan apa yang…