"Selain kereta api furnikular sedia ada, kereta kabel ini mampu menjadi mod pengangkutan tambahan terutamanya dalam mengurangkan kesesakan pada waktu puncak sekali gus menyumbang kepada pembangunan pelancongan Pulau Pinang secara berterusan," katanya pada sidang media di Pulau Pinang semalam.
Menurutnya, kajian prakebolehlaksanaan projek kereta kabel sudah dijalankan dan penilaian menyeluruh di pasaran, sosial, ekonomi, impak alam semula jadi, model kewangan, potensi, pemilihan penyelarasan serta lain-lain dijalankan oleh pihak perunding berkaliber.
"Berdasarkan kajian itu, terdapat beberapa laluan pilihan untuk pelaksanaan projek kereta kabel iaitu menerusi Taman Botani, Taman Belia dan Teluk Bahang.
"Malah turut menjadi kemungkinan bahawa bangunan parkir bertingkat akan dibina di beberapa lokasi berbeza bergantung kepada penjajaran serta lokasi stesen bawah kereta kabel berkenaan," katanya.
Beliau berkata, PBBPP turut mencadangkan penggunaan kenderaan elektrik bagi membawa pengunjung dari bangunan parkir bertingkat ke stesen bawah kereta api.
"Ekoran permohonan PBBPP untuk mengiktiraf Bukit Bendera sebagai rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu di bawah program 'Man and The Biosphere' (MAB), perancangan dan ramalan pembangunan perlu dilakukan secara teliti demi masa depan Bukit Bendera serta negeri Pulau Pinang secara menyeluruh," katanya.
Tambahnya, projek kereta kabel itu akan mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk siap sepenuhnya.
Justeru, Chow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan syarikat berdaftar yang layak dan mempunyai kepakaran mengambil bahagian dan mengemukakan Permohonan Cadangan (RFP) yang bermula dari 13 Januari hingga 24 Mei ini.