Kesesakan di Pulau Pinang kerana 144,698 pengguna tak cukup baki Touch ‘n Go!

oleh SALINA JALIL|
Biarpun umum mengetahui TIADA lorong tambah nilai disediakan di plaza tol sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) masih ramai yang TIDAK MEMANDANG SERIUS perkara itu dengan tidak memiliki baki mencukupi dalam kad Touch ‘n Go mereka.

 

Situasi itu menimbulkan amarah kepada pengguna lain apabila ada kenderaan yang terpaksa menukar lorong tol yang lain malah lebih buruk sehingga berlaku kesesakan lalu lintas kerana terpaksa menunggu individu terbabit menambah baki kad Touch 'n Go mereka di Kiosk Layan Diri yang disediakan di plaza tol.

 

Menurut Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Malaysia Berhad, Wan Ahmad Awang, sebanyak 144,698 kes pengguna di Pulau Pinang direkodkan tidak mempunyai baki kad tambah nilai mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dari 18 Mac hingga 31 Mei lepas.


"Di Pulau Pinang kita mempunyai sembilan plaza tol di bawah kendalian PLUS termasuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Juru, Sungai Dua dan Kubang Semang," katanya.

 

Menurutnya, situasi kekurangan baki kad Touch 'n Go itu sering berlaku pada waktu puncak sepanjang hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 4 petang hingga 8 malam.

 

Memandang serius perkara itu, Wan Ahmad berkata, PLUS amat memohon kerjasama semua pihak dan menasihatkan pelanggannya untuk menyediakan baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

 

"Kita juga menyarankan agar pelanggan menambah nilai dalam kadar yang lebih tinggi. Ramai yang gemar tambah nilai dalam kadar rendah dengan hanya RM10, jadi kita galakkan untuk mereka menambah nilai baki lebih daripada itu bagi mengelakkan kekerapan urusan di laluan tol.

 

"PLUS juga menggalakkan semua pelanggan menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi mengelakkan kesesakan di lorong tol di Jambatan Pulau Pinang dan dari Sungai Dua ke Jitra pada bulan Julai nanti. Ini sekali gus dapat mengelakkan risiko jangkitan Covid-19," katanya.

 

Beliau berkata, sekiranya kakitangan PLUS dan pelanggan lebuh raya masih mempunyai intervensi langsung bagi urusan menambah nilai di lorong tol ia akan meningkatkan risiko penularan wabak Covid-19.

 

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, lorong operasi tol juga dibuka secara berperingkat mengikut jumlah peningkatan trafik semasa bagi mengurangkan pendedahan dan intervensi antara kakitangan dan pelanggan.
 

 

Sementara itu, seorang pengguna Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Ahmad Akbar, 24, yang mempunyai kekurangan baki dan memberhentikan kenderaan bagi menambah nilai di Kiosk Layan Diri berkata, faktor terlupa dan ingin bergegas keluar menjadi antara sebab beliau tidak menyedari baki kad tambah nilainya tidak mencukupi.

 

"Hari ini saya nak cepat ke tempat kerja dan terlupa hendak tambah nilai dahulu. Adakalanya saya tambah nilai di stesen minyak dahulu tetapi hari ini kelam-kabut jadi tidak sempat nak tambah nilai," kata pengawal keselamatan itu yang setiap hari menggunakan jambatan tersebut atas urusan kerja.

 

Sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas sehingga kini, PLUS telah menutup sementara operasi perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go di plaza-plaza tol di semua lebuh raya PLUS.

 

Langkah itu diambil bagi mengelakkan intervensi langsung kakitangan PLUS di lorong tol dengan pelanggan lebuh raya sekali gus bermatlamat membendung penularan wabak Covid-19.

 

Pelanggan lebuh raya boleh menambah nilai kad Touch ‘n Go sebelum memasuki lebuh raya di 11,000 lokasi lain yang disediakan di seluruh negara termasuk di stesen-stesen minyak, kedai serbaneka, mesin ATM, Kiosk Layan Diri dan lain-lain.

 

Sebelum ini Pengarah Editor Careta, Hezeri Samsuri telah ke Johor Baharu, Plaza Tol Perling untuk melihat sendiri permasalahan ini, sememangnya ramai pengguna jalan raya yang mengambil mudah perkara ini tanpa memikirkan kesan tindakan mereka itu!

 

Videonya di sini:

 

 

- Bernama


 

Add new comment

Berita Berkenaan

Informasi
Pastinya untuk rakyat di kota, mencucuk kereta hadapan dengan niat agar laluan trafik semakin laju…
Berita Domestik
Setiap hari rangkaian Lebuhraya PLUS akan menerima 1.4 juta kenderaan menyusuri laluannya.  …