KKR, LLM laksana persediaan tangani kesesakan trafik di lebuh raya menjelang Aidilfitri

oleh Penyumbang Rencana|
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengambil langkah proaktif bagi meminimumkan kesesakan lebuh raya dan melancarkan aliran trafik menjelang Aidilfitri.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan amat prihatin berhubung kesesakan lalu lintas yang berlaku menjelang musim perayaan ini khususnya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01

Beliau berkata antara tindakan yang diambil bagi mengurangkan kesesakan pengguna di lebuh raya melibatkan aspek penghentian kerja-kerja penyelenggaraan, pengaktifan laluan pintar (Smart Lane) termasuk penyediaan aplikasi digital MyPLUS-TTA oleh syarikat konsesi.

"Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong akan dihentikan sementara pada cuti perayaan nanti bermula 1 hingga 17 April 2024. Hanya kerja-kerja kecemasan sahaja dibenarkan untuk dilaksana sekiranya diperlukan.

"Selain itu, 'Smart Lane' akan diaktifkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar, sesuai dengan pandangan dan ulasan yang diberikan oleh pengguna jalan raya pada cuti Tahun Baharu Cina yang lepas," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara pada Selasa.

Nanta berkata kerja penambahbaikan seperti pemasangan papan tanda baharu dan lampu amaran (flashlight) akan disiapkan selewat-lewatnya 7 April ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lebuh raya mengenai waktu operasi 'Smart Lane'.

Katanya kerja-kerja penandaan semula garisan jalan bagi menambah jumlah lorong lebuh raya di lokasi tertentu di PLUS juga telah dilaksanakan bagi menambah kapasiti sedia ada.

"Kita juga akan membuka banyak lorong transaksi tol termasuk pelaksanaan kutipan tol secara berlapis di plaza-plaza tol, selain memastikan pasukan ronda serta kren atau kembalik (kenderaan membawa balik) dalam keadaan siap siaga di lokasi sering berlaku kemalangan," katanya.

Beliau berkata penggunaan papan tanda elektronik dan jalinan kerjasama dengan pelbagai saluran radio dan televisyen utama juga akan dilaksanakan bagi tujuan penyaluran maklumat trafik kepada pengguna lebuh raya.

"Bagi mengatasi kesesakan di Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, tindakan susun atur semula lorong kutipan tol akan disiapkan bagi melancarkan proses pembayaran tol semasa cuti perayaan Aidilfitri nanti," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
Berkongsi di Facebook, Zairul berkata, kisah itu bermula apabila dia menggunakan aplikasi Google…
Informasi
Selain itu, beliau berkata, kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang…
Informasi
Menurutnya, aliran trafik dijangka meningkat secara berperingkat ke pantai timur bermula dari 5…