Ada yang tertanya, pasang lampu tu lulus JPJ ke?
Soalan tersebut kami ajukan kepada pihak Mitsubishi sendiri dan mereka mengesahkan pemasangan lampu LED tersebut telah mendapat kelulusan VTA daripada JPJ.
Menurut jurucakap Mitsubishi Motors Malaysia, lampu LED tersebut tidak diklasifikasikan sebagai lampu spotlight, memandangkan mengikut peraturan JPJ pemasangan lampu spotlight untuk 4x4 sememangnya tidak dibenarkan di bahagian atas bumbung.
Lampu LED tersebut bersambung dengan fungsi lampu tinggi dan dihubungkan dengan satu suis, bermakna pemandu boleh memilih untuk menggunakan suluhan tinggi yang biasa atau gandingan suluhan tinggi bersama-sama nyalaan LED itu tadi.
Untuk fungsi suluhan lampu normal yang rendah, bar LED tersebut tidak akan berfungsi sama sekali mengikut regulasi yang telah ditetapkan.
Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPJ, kenderaan 4x4 dibenarkan memasang lampu spotlight untuk aktiviti off-road dan lampu tersebut perlu dimatikan (dan ditutup dengan penutup asal) apabila kenderaan tersebut dipandu atas jalan raya.
Selain daripada itu, lampu spotlight tersebut mesti berwarna putih atau amber dan hanya boleh dipasang di bahagian hadapan sebagai lampu tambahan kepada unit lampu sedia ada.