Larikan Perodua Axia semasa sesi pandu uji

oleh SALINA JALIL|
Tindakan seorang lelaki yang berpura-pura sebagai pelanggan dan mahu memandu uji sebuah kereta Perodua Axia rupa-rupanya adalah taktik licik untuk melarikan kenderaan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku semasa suspek datang ke premis jualan kereta terpakai di Jalan Kampar di Ipoh untuk melihat kereta pada pukul 4 petang semalam.

 

Katanya, suspek kemudiannya mahu memandu uji kereta Perodua Axia itu dengan ditemani pembantu jualan yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

 

“Semasa sesi pandu uji tersebut, kenderaan berkenaan telah berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak dekat Jalan Sultan Iskandar.

 

“Bagaimanapun, semasa melalui persimpangan Jalan Kampar ke Jalan Sultan Nazrin Shah, lelaki itu telah memberhentikan kereta dan meminta pekerja wanita itu pula memandu.

 

“Namun semasa mangsa mahu turun dari kereta, lelaki terbabit memecut laju melarikan kenderaan berkenaan dan meninggalkan wanita itu di tepi jalan,” katanya.

 

Menurut beliau, berdasarkan rakaman percakapan mangsa, suspek datang ke premis berkenaan dan memberitahu mahu membeli kereta Perodua Myvi.

 

Katanya, kereta model itu bagaimanapun tiada dan suspek kemudiannya ditunjukkan pula kereta Perodua Axia keluaran 2016 berwarna biru.

 

“Mangsa yang tidak mencatatkan sebarang butiran suspek telah bersetuju untuk membuat pandu uji kenderaan berkenaan di mana dia duduk di bahagian penumpang belakang.

 

“Mangsa tidak cam wajah suspek kerana memakai pelitup muka dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan,” katanya.

 

 

 

 

UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Yang pasti, untuk model kemaskini terbaharu ini, Proton telah banyak membawakan penambahbaikan bagi…
Berita Domestik
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi berkata, kompaun akan…
Berita Domestik
Menurut laporan daripada Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten…